Anwar ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

TAMPIN – Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Madani telah melaksanakan langkah yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan sebelum ini apabila mengisytiharkan tanah rizab Melayu baharu di Kuala Lumpur buat pertama kali sejak negara merdeka pada 1957.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memartabatkan kepentingan orang Melayu melalui tindakan dan dasar, bukannya sekadar retorik politik.

“Saya nak beritahu kepada saudara, saya tak fikir ada sebelum ini program memartabatkan Melayu seperti mana yang kita lakukan dalam Kerajaan Madani sekarang. Secara bersungguh-sungguh, serius.

“(Pada tahun) 2023 kita rampas tanah Bandar Malaysia 480 ekar (194.3 hektar) (yang sebelum ini) jadi milik negara China dan syarikat (swasta)…sebab dia langgar peraturan (dan) diambil alih untuk dijaga oleh Petronas dan Khazanah kerana ini badan-badan yang dikuasai oleh Melayu.

Anwar menyantuni warga tentera pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan, hari ini.

“Dalam kawasan itu, 50 ekar (20 hektar) saya buat rizab (tanah Melayu), tanah yang paling berharga di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garison Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, cadangan itu juga dibawa kepada anggota Kabinet termasuk berbincang dengan Anthony Loke dan diterima tanpa sebarang bantahan

“Saya bawa kepada Kabinet. Sebelum itu saya maklum kepada Anthony Loke. Saya kata, ‘This is my proposal’.

“Dia cuma tanya mengapa. Saya kata, sebab tanah Melayu di Kuala Lumpur itu makin mengecil. It’s my duty to give the clear signal. Dia kata okey,”

Anwar berkata, jika perkara itu tidak pernah dilakukan sebelum ini, beliau meminta perkara tersebut ditanyakan kepada pihak lain yang selama ini lantang berbicara mengenai isu Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast