Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika kempen rumah ke rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sikamat, Nor Azman Mohamad berharap pengundi awal khususnya dalam kalangan penjawat awam membuat penilaian terhadap prestasi kerajaan sebelum membuang undi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini telah menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM300 kepada hampir 45,000 penjawat awam Persekutuan yang bertugas di negeri itu termasuk guru, anggota polis dan tentera.

Menurut Nor Azman, bantuan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan penjawat awam.

“Mudah-mudahan ia menjadi pertimbangan kepada pengundi awal untuk memilih kerajaan PH,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa berkempen dari rumah ke rumah di Taman Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) N.13 Sikamat, Nor Azman Mohamad menyantuni pengundi ketika kempen rumah ke rumah di Taman Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan pengundi awal agar tidak takut kepada pihak tertentu dalam membuat pilihan dan pertimbangan pada hari undi awal, esok.

Beliau turut menggesa semua pengundi awal keluar menunaikan tanggungjawab walaupun kadar keluar mengundi lazimnya tinggi.

“Pengundi perlu membuat keputusan berdasarkan rekod pentadbiran serta kemampuan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat,” katanya lagi.

Mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 16,884 tentera serta pasangan dan 5,455 polis akan menunaikan tanggungjawab mereka mengundi awal dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan pada 28 Julai ini.

Sebanyak 38 pusat mengundi awal di seluruh Negeri Sembilan akan dibuka jam 8 pagi sehingga jam 6 petang esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast