Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA PILAH – Pakatan Harapan (PH) kekal optimis mempertahankan Negeri Sembilan dengan menyasarkan kemenangan sehingga 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Ini walaupun berdepan dakwaan wujud ‘gelombang biru’ yang dikatakan mampu mengubah landskap politik negeri itu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, gabungan itu meletakkan sasaran minimum 19 kerusi, namun percaya jumlah kemenangan boleh meningkat kepada antara 21 hingga 22 kerusi berdasarkan perkembangan semasa kempen.

Menurutnya, keyakinan itu bukan dibuat secara rambang, sebaliknya berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sepanjang dua penggal serta konsistensi sokongan yang diterima PH sejak 2018.

“Kita cuba sedaya upaya untuk memperoleh minimum 19 kerusi. Kalau ada kemampuan yang lebih, kita mungkin boleh dapat antara 21 hingga 22 kerusi. Itu jangkaan terbaik kita.

“Namun, kita percaya kepada kebijaksanaan pengundi dan akan terus berkempen sehingga hari terakhir kerana kita melihat sokongan kepada PH kekal konsisten sejak 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, PH tidak mengambil mudah cabaran kali ini memandangkan landskap politik telah berubah susulan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, gabungan itu tetap yakin rekod pentadbiran Aminuddin serta kestabilan kerajaan negeri menjadi faktor yang mampu meyakinkan pengundi untuk terus memberikan mandat kepada PH.

Mengulas dakwaan kononnya ‘gelombang biru’ dari Johor akan mempengaruhi keputusan PRN Negeri Sembilan, Amirudin menyifatkan naratif itu sengaja dimainkan bagi membentuk persepsi dalam kalangan pengundi.

Beliau berkata, PH sebelum ini juga berdepan pelbagai dakwaan termasuk ‘gelombang hijau’, namun tetap berjaya mengekalkan sokongan rakyat di negeri-negeri yang ditadbir.

“Kita pernah melalui pelbagai naratif seperti gelombang hijau. Jadi, saya melihat dakwaan mengenai gelombang biru ini lebih kepada percaturan politik.

“Bagi PH, tumpuan kita adalah menawarkan rekod pentadbiran, kestabilan dan agenda Madani Kesatuan Rakyat. Itu yang akan menjadi pertimbangan pengundi apabila mereka keluar mengundi nanti,” ujarnya.

Beliau berkata, seluruh jentera PH kini memberi tumpuan kepada pecutan akhir kempen bagi memastikan sasaran kemenangan dicapai dan mandat yang lebih kukuh dapat diperoleh untuk meneruskan pentadbiran Negeri Sembilan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast