Jentera kempen dari DUN Pelangai meredah hujan untuk memberi sokongan kepada petugas BN di Negeri Sembilan.

JEMPOL – Semangat membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menyala apabila 110 anggota Barisan Nasional (BN) DUN Pelangai sanggup meredah hujan sejauh lebih sejam dengan menunggang motosikal bagi menyatakan sokongan kepada calon BN yang bertanding, di sini.

Konvoi yang disertai Pemuda, Puteri, Wanita serta ketua-ketua cawangan BN DUN Pelangai itu bermula selepas berkumpul di hadapan Pusat Latihan Muamalat (PULMAS) Pelangai, yang sebelum ini dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mereka kemudiannya bergerak secara berkonvoi menuju ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Palong 2, DUN Sungai Lui, bagi  misi membantu jentera kempen BN di Negeri Sembilan.

Amizar Abu Adam

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, perjalanan mengambil masa lebih satu jam kerana jumlah konvoi motosikal yang ramai.

Ujar EXCO  Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang itu, misi konvoi mengutamakan aspek kawalan keselamatan rapi bagi memastikan perjalanan selamat dan aman.

“Cabaran terbesar bukan sahaja hujan lebat yang turun tanpa henti sepanjang perjalanan dari Pelangai ke Negeri Sembilan, malah konvoi turut melalui kawasan yang mengalami kesesakan trafik ketika musim berkempen.

“Walaupun berdepan hujan berterusan dan ada motosikal yang mengalami kerosakan sehingga perlu ditunda, tiada seorang pun yang berpatah balik.

“Semangat semua jentera begitu tinggi untuk sampai ke destinasi,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan konvoi itu didorong oleh semangat “Gelombang Biru” oleh jentera turun membantu kempen BN di Negeri Sembilan.

Menurutnya lagi, pengalaman anak muda menyertai kempen itu memberi peluang kepada jentera BN Pelangai merasai sendiri suasana pilihan raya di lapangan.

“Suasana sangat meriah. Kami bukan sekadar hadir memberi sokongan, tetapi dapat melihat sendiri bagaimana gerak kerja kempen dijalankan secara realiti bersama jentera di Negeri Sembilan.

“Walaupun penat dan basah kuyup, semangat kami tidak pernah luntur. Ini bukti bahawa jentera BN sentiasa bersedia bergerak ke mana sahaja apabila parti memerlukan khidmat kami,” katanya.

Konvoi muda -mudi itu menjadi simbol solidariti antara jentera BN Pahang dan Negeri Sembilan menjelang hari pengundian, sekali gus menyuntik semangat kepada jentera tempatan yang sedang bekerja keras memenangi hati pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan 103 calon daripada pelbagai parti politik dan calon bebas layak bertanding pada PRN Negeri Sembilan.

Ia melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 889,490 pengundi berdaftar, dan hari mengundi pada 1 Ogos 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast