KUALA PILAH – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN N18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berharap semua pengundi yang belum berbuat demikian supaya keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebelum pusat mengundi ditutup petang ini.
Beliau berkata, hari pengundian adalah saat penting yang akan menentukan hala tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Noorzunita berkata demikian selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangai di sini kira-kira pukul 8.30 pagi.
Beliau hadir bersama dua orang anaknya termasuk seorang yang pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi manakala suaminya mengundi di kampung halamannya di Serting Tengah.
Menurutnya, suasana di pusat mengundi itu berjalan lancar dengan pengundi hadir dalam keadaan tenang serta mematuhi segala prosedur yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Alhamdulillah, melihat perjalanan di pusat pengundian di Pelangai ini berjalan seperti biasa. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
“Kita nampak rakyat Negeri Sembilan mengundi dengan teratur dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berharap pengundi yang masih belum keluar mengundi supaya mengambil kesempatan menunaikan tanggungjawab sebelum tamat waktu pengundian.
“Saya harap yang masih belum keluar mengundi, keluarlah sebelum pusat mengundi ditutup petang ini dan laksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Ditanya mengenai keyakinannya menghadapi pertandingan kali ini, Noorzunita berkata beliau menyerahkan segala-galanya kepada usaha, doa dan tawakal.
“Insya-Allah, sepanjang tempoh berkempen kita sudah berusaha. Usaha telah kita buat, kini doa dan tawakal sahajalah yang mampu saya lakukan.
“Saya berharap segala yang berlaku hari ini membawa kebaikan kepada Negeri Sembilan dan nasib rakyat terus terbela,” katanya.
Beliau berkata, pilihan yang dibuat rakyat hari ini akan menentukan masa depan Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Negeri Sembilan memilih hari ini. Inilah penentu untuk lima tahun masa depan kita. Pilihlah pemimpin yang mampu menjaga kebajikan rakyat, kestabilan ekonomi, perpaduan dan keharmonian masyarakat. Itu yang penting,” katanya lagi.
Mengulas mengenai pengalaman mengundi bersama anak-anaknya, Noorzunita bersyukur dapat berkongsi detik bermakna itu terutama apabila seorang daripada mereka pertama kali mengundi.
“Hari ini saya hadir bersama dua anak saya. Seorang daripadanya pertama kali mengundi dan mereka sangat teruja. Saya berkongsi dengan mereka bahawa anak muda perlu bijak membuat pilihan dan menggunakan hak sebagai pengundi,” uja
Selesai mengundi, Noorzunita dijadual meninjau beberapa lagi pusat mengundi di sekitar DUN Pilah sebelum bergerak ke DUN Juasseh bagi melihat proses pengundian di kawasan berkenaan.
DUN N18 Pilah menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang mewakili PH dengan calon Barisan Nasional (BN), S. Leza Md Yassin. = MalaysiaGazette
















