KUALA PILAH – Suasana tenang dan penuh keterujaan menyelubungi Sekolah Kebangsaan (SK) Pelangai di sini apabila pengundi mula beratur seawal pukul 7.20 pagi meskipun pintu pusat mengundi hanya dibuka pada pukul 8 pagi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu masih sibuk melakukan persiapan terakhir sebelum lima saluran di pusat mengundi berkenaan dibuka kepada seramai 2,647 pengundi berdaftar.
Wajah-wajah pengundi daripada pelbagai lapisan umur jelas menggambarkan semangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
Malah ada yang sanggup pulang dari luar kawasan, datang berkerusi roda dan mengayuh basikal semata-mata mahu memastikan undi mereka tidak terlepas.
Antara yang terawal tiba ialah Mohd Sharidan Ayub, 55, yang pulang dari Kuala Lumpur sehari lebih awal bagi membolehkan beliau mengundi di kampung halamannya di Mukim Pelangai.
Menurutnya, beliau tidak pernah gagal pulang mengundi sejak pertama kali berbuat demikian sekitar tahun 1995 kerana menganggap ia sebagai tanggungjawab setiap warganegara.

“Saya memang berdaftar di sini. Setiap kali pilihan raya saya akan balik mengundi. Semalam perjalanan pun lancar kerana saya datang awal.
“Masyarakat di sini sangat rapat antara satu sama lain dan kami sudah biasa melalui pilihan raya. Saya harap semua pengundi keluar mengundi dengan baik dan terus mengekalkan semangat perpaduan yang ada,” katanya.
Semangat sama turut dipamerkan Kamaruddin Yassin, 75, yang hadir berkerusi roda walaupun berdepan masalah pergerakan.
Beliau berkata, keadaan fizikal bukan alasan untuk tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya bangun awal pagi dan datang awal supaya tidak bersesak. Walaupun berkerusi roda, saya tetap mahu mengundi,” katanya ringkas.
Bagi Abdul Hakim Rasul, 33, beliau memilih mengayuh basikal sejauh kira-kira dua kilometer dari rumahnya ke pusat mengundi.
Katanya, jarak itu bukan halangan kerana beliau mahu menggunakan hak sebagai pengundi selain berharap wakil rakyat yang dipilih nanti benar-benar menjalankan amanah.

“Saya harap wakil rakyat yang menang nanti dapat menyelesaikan perkara-perkara yang perlu, berlaku adil kepada semua pengundi dan jangan lupa kepada rakyat.
“Rajin-rajinlah turun padang dan dengar keluh kesah rakyat, bukan hanya datang semula apabila pilihan raya tiba lima tahun lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Mohiyudin Abdul Jalil, 76, tidak pernah gagal mengundi sejak kali pertama berbuat demikian pada tahun 1974.
Menurutnya, sesiapa yang diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan perlu mengutamakan kejujuran dan integriti.

“Siapa juga yang menjadi Menteri Besar nanti, jalankanlah amanah dengan jujur dan berintegriti. Apa yang dijanjikan kepada rakyat, laksanakanlah sebaik mungkin.
“Mengundi adalah tanggungjawab kita. Dalam sistem demokrasi, kitalah yang diberi kuasa memilih pemerintah untuk tempoh akan datang,” katanya lagi.
Seorang lagi pengundi, Nazrul Hisyam Nazri, 46, turut menggagahkan diri hadir walaupun berada dalam keadaan kurang sihat.
Beliau berkata, keadaan kesihatan tidak seharusnya menjadi alasan untuk tidak keluar mengundi.

“Badan saya memang kurang sihat pagi ini tetapi saya tetap datang mengundi. Ini tanggungjawab kita sebagai rakyat.
“Saya harap kepentingan rakyat terus diutamakan dan masyarakat kekal bersatu. Hari ini kuasa di tangan rakyat untuk menentukan siapa yang akan memimpin kita,” katanya.
Rata-rata pengundi yang ditemui turut berharap proses pengundian berjalan lancar selain berharap wakil rakyat yang dipilih nanti benar-benar mendengar suara rakyat serta menunaikan amanah yang diberikan.
Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca di Kuala Pilah dijangka panas pada waktu pagi sebelum berpotensi mengalami ribut petir dan hujan lebat di beberapa kawasan pada sebelah tengah hari hingga petang.
Keadaan itu menyebabkan sebahagian pengundi memilih hadir lebih awal bagi mengelakkan kemungkinan gangguan cuaca ketika proses pengundian.
Untuk rekod, SK Pelangai terletak dalam kawasan DUN N15 Juasseh dan turut menjadi lokasi calon Pakatan Harapan (PH) DUN N18 Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim menunaikan tanggungjawab mengundi pagi tadi.
Bagi DUN N18 Pilah, seramai 18,034 pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini membabitkan lapan pusat mengundi dengan 45 saluran.
Kerusi itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim mewakili PH dengan calon Barisan Nasional (BN), S Leza Md. Yassin. -MalaysiaGazette
















