KUANTAN – Tiga pelajar berkeperluan khas dari Kolej Komuniti Selayang yang mengetengahkan inovasi dalam bidang agrikultur menerusi ciptaan ProFiber Sosej, produk yang direka khas untuk individu yang mengutamakan pemakanan seimbang dalam kehidupan seharian.
“Dalam ProFiber Sosej ini mengandungi sayur-sayuran dan bahan semula jadi yang segar. Ada tempe, bayam, saderi dan isi ayam. Biasa produk di pasaran diletakkan bahan pengawet dalam kadar tinggi, tapi produk ini tiada bahan pengawet.
“Tambahan pula, kos bahan mentah seperti bayam dan saderi tu rendah dan mudah dicari atau dijual di kedai-kedai sahaja.
“Perbezaannya, sosej ini dihasilkan sesuai untuk mereka yang mahu diet dan menjaga kesihatan. Kalau makan sosej ni pada waktu pagi, hanya akan rasa lapar semula pada waktu petang,” katanya.

Bagi inovasi itu, kumpulan tersebut berjaya meraih tempat pertama Anugerah Inovasi Terbaik bagi Kategori D (Keperluan Pendidikan Khas-Agrikultur TVET) dalam pertandingan International Agrofood and Biotechnology Festival @ Special Education Needs 2026 (iFAMB@SEN2026) yang diadakan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), di sini yang berakhir hari ini.
Menurut Khilfy Falah, pasukan yang dianggotai dua lagi rakannya iaitu Aisyah Humaira Abdul Azim dan Preity Nor Athillia Fir Abdullah dibimbing Pensyarahnya, Mohd Che Khaidir Che Hassan telah melakukan percubaan menghasilkan produk terbabit sejak empat bulan lepas.
“Pada awalnya memang banyak kegagalan sebab produk tak menjadi, tapi kami tetap berusaha dan produk itu berjaya dihasilkan tepat pada waktunya.
“Kami ada impian untuk tambah baik, perluas kepada sosej daging dan sosej sayur pada masa hadapan dan ia akan akhirnya dijual di pasaran apabila produk itu betul-betul sudah bersedia,” katanya lagi.

Majlis Perasmian Penutup iFAMB@SEN2026 diadakan serentak dengan penutup bagi pertandingan International Highest Early Strength Eco-Green Concrete Cube Competition 2026 (I-HESEGC 2026) di POLISAS yang disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.
Menerusi penganjurannya selama dua hari itu, iFAMB@SEN2026 mempertandingkan empat kategori inovasi yang disertai 255 peserta tempatan dan tiga penyertaan antarabangsa membabitkan negara China, Indonesia dan Brunei.
Manakala, I-HESEGC 2026 pula disertai 188 peserta daripada 30 kumpulan yang membabitkan 18 institusi pendidikan tinggi termasuk dua dari Indonesia.
POLISAS dalam kenyataannya berkata, penganjuran dua program bertaraf antarabangsa ini menjadi platform strategik dalam memperkukuh TVET melalui penghasilan penyelidikan, inovasi, pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran merentas disiplin, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta Pelan Transformasi Politeknik 2023-2030. – MalaysiaGazette
















