KEPALA BATAS – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu Tabung Haji (TH) dengan meletakkan kesalahan kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai institusi itu.
Beliau berkata, laporan RCI itu sendiri jelas menyatakan terdapat pihak yang perlu dipertanggungjawabkan dan memberi penjelasan berhubung isu berkenaan namun ia tidak seharusnya dijadikan asas untuk melabel BN sebagai pihak yang bersalah.
“Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sendiri sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk disiasat sekiranya perlu.
“Cuma saya fikir adalah lebih baik perkara ini dibahaskan tanpa terlalu menggunakan aspek politik kerana ada usaha meletakkan kesalahan kepada BN khususnya UMNO, bagi saya itu tidak tepat,” katanya kepada pemberita selepas Program Agihan Jalur Gemilang di sekitar Bertam Permata di sini hari ini.
Tambah Reezal Merican, isu TH perlu diselesaikan secara berhikmah kerana ia membabitkan kepentingan ramai pendeposit.
Beliau berkata, berdasarkan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tahun lalu, sebanyak 53 peratus daripada 9.7 juta pendeposit TH mempunyai simpanan kurang daripada RM1,300 manakala sekitar 33 peratus lagi memiliki simpanan antara RM1,300 hingga RM15,000.
“Terdapat dua kategori pendeposit yang perlu diberi perhatian termasuk golongan 53 peratus yang hanya memegang sekitar 20 peratus daripada nilai keseluruhan simpanan manakala sekitar 20 peratus pendeposit pula memiliki kira-kira 80 peratus daripada jumlah nilai simpanan.
“Takut ia meruntuhkan keyakinan dan akhirnya ia akan meninggalkan kesan lebih buruk pada ramai. Jadi selesaikan, ambil tindakan tetapi gunakan pendekatan yang baik, lebih berhikmah agar ia tidak memberi kerugian kepada semua pihak,” katanya.
Pada masa sama, beliau menolak tanggapan BN khususnya UMNO melindungi individu yang terbabit dengan rasuah sebaliknya menegaskan, parti itu pernah mengambil tindakan terhadap pemimpinnya yang didapati melakukan kesalahan.
“Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Harun Idris pernah dipenjarakan, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib pula pernah disingkirkan.
“Bukan UMNO tidak pernah mengambil tindakan terhadap perasuah. Jadi tidak wajar untuk mengatakan semua orang UMNO atau BN ini korup,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi TH dijadual dibahaskan di Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini. – MalaysiaGazette















