Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Perwakilan Parti Wawasan Negara di Tropicana Golf Country & Resort, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 07 OGOS 2026.

PETALING JAYA – Parti Wawasan Negara (Wawasan) secara rasmi meluluskan pindaan menyeluruh terhadap perlembagaan parti sebagai langkah memperkukuhkan hala tuju perjuangannya selepas mengambil alih parti yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM).

Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang berlangsung malam ini meluluskan perubahan besar terhadap hampir keseluruhan kandungan perlembagaan asal bagi disesuaikan dengan identiti serta aspirasi baharu Wawasan.

Menurut beliau, pindaan itu bukan sekadar melibatkan pertukaran nama parti, sebaliknya turut memperkenalkan falsafah perjuangan baharu yang akan menjadi asas kepada setiap dasar dan tindakan parti.

“Ketika kita mengambil alih parti daripada PCM kepada Parti Wawasan Negara, kita belum mengubah perlembagaan asal.

“Hari ini kita bersidang untuk menentukan perlembagaan itu diubah mengikut apa yang telah diluluskan malam ini,” katanya kepada pemberita selepas EGM di Tropicana Golf & Country Resort, di sini, malam ini.

Hamzah berkata, falsafah baharu Wawasan menumpukan usaha menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan yang lebih inklusif.

Jelasnya, perjuangan parti akan berteraskan pembinaan sebuah Malaysia yang lebih baik menerusi gagasan Konsensus Nasional Baharu.

Menurut beliau, gagasan itu berpaksikan tiga tonggak utama iaitu matlamat bersama, kemakmuran bersama serta tadbir urus berperikemanusiaan.

“Ini merupakan falsafah perjuangan kita dan ia menjadi cerminan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta amalan demokrasi yang matang.

“Kita mahu menjadikan Wawasan sebagai wadah perjuangan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut Hamzah, keseluruhan 30 fasal dalam perlembagaan parti turut disemak dan dikemas kini bagi memastikan ia selari dengan hala tuju baharu Wawasan.

“Kelulusan pindaan itu menjadi asas penting sebelum parti melangkah ke fasa seterusnya termasuk pemilihan kepimpinan pusat.

“Majlis Tertinggi Wawasan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menetapkan tarikh pemilihan pertama parti selepas proses penstrukturan semula selesai,” katanya lagi.

Sementara itu, Hamzah berkata, Wawasan juga bakal menubuhkan Majlis Penasihat Parti sebagai institusi baharu selepas perlembagaan parti dipinda dan diluluskan pada EGM malam ini.

Jelasnya, penubuhan badan tersebut merupakan antara perubahan penting dalam perlembagaan baharu parti itu.

Menurut beliau, jawatan penasihat tidak akan dianggotai seorang individu sahaja, sebaliknya bakal disertai beberapa tokoh berpengalaman.

“Insya-Allah Tan Sri (Rais Yatim) akan terus menjadi penasihat.

“Bukan beliau seorang sahaja, nanti kita akan tubuhkan beberapa tokoh untuk menjadi penasihat kepada parti,” katanya.

Hamzah juga berkata, selepas pindaan perlembagaan dimuktamadkan, Majlis Tertinggi Wawasan akan menentukan tarikh pemilihan kepimpinan pertama parti.

Beliau menjelaskan, sehingga kini parti masih belum menetapkan tarikh pemilihan kerana proses penyusunan organisasi masih berjalan.

“Pemilihan parti yang pertama pun belum ditetapkan lagi. Selepas ini Majlis Tertinggi akan menentukan tarikhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast