KUALA LUMPUR — Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari cerun setinggi kira-kira lapan meter di kawasan hutan Hill 3, Jalan Bukit Enggang, Bandar Sungai Long, Kajang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.43 petang, tadi.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa dipercayai keluar dari rumah kira-kira pukul 7 pagi kerana tertekan dengan masalah kewangan sebelum ditemukan orang awam sekitar pukul 3 petang di kawasan cerun berkenaan.
“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan dipercayai terjatuh dari kawasan berketinggian kira-kira lapan meter.
“Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 3.15 petang ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam kenyataan.
Naazron berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Katanya, siasatan awal setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Zharif Shah Ab Rasid di talian 012-592 5390 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















