Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak berpuas hati dan gagal mengawal perasaan marah selepas ditegur tandas rumah kotor, seorang lelaki warga Bangladesh menetak rakan serumahnya di sebuah restoran di Taman Cheras Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, dalam kejadian itu mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu stor mengalami kecederaan akibat tetakan dan kini dirawat di Zon Kuning, Hospital Ampang dalam keadaan stabil.

“Polis telah berjaya mengesan dan menangkap suspek berusia 30 tahun yang mendatangkan cedera menggunakan senjata tajam dalam tempoh kurang daripada  24 jam selepas kejadian dilaporkan berlaku.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) IPD Cheras membuat tangkapan ke atas suspek sekitar jam 12 tengah malam tadi di hadapan sebuah poliklinik di Jalan 16, Kampung Cheras Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek merupakan rakan sekerja serta rakan serumah mangsa yang telah tinggal bersama selama lima tahun.

“Sususlan kejadian ini, polis telah merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati, motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati dan kegagalan mengawal kemarahan ekoran perselisihan faham antara suspek dan mangsa,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dipohon di hadapan Majistret hari ini untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast