KUALA LUMPUR – Penyertaan bekas pemimpin DAP, Ronnie Liu ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) merupakan pengiktirafan terhadap perjuangan parti berkenaan.

Ketua Pemuda Nasionalnya, Hanis Asmui berkata, penyertaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu akan menjadikan PBM sebagai platform politik yang inklusif dan sederhana di negara ini.

“Penyertaan beliau bukan sekadar pertambahan seorang tokoh politik, sebaliknya memperkukuh lagi hala tuju parti yang berorientasikan rakyat.

“Keputusan tersebut membuktikan PBM sentiasa terbuka menerima mana-mana individu tanpa mengira latar belakang politik, kaum mahupun agama, selagi mempunyai kesungguhan untuk bersama-sama membina Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Pemuda PBM akan terus memainkan peranan sebagai jambatan bagi meledakkan aspirasi generasi baharu, di samping memanfaatkan pengalaman luas tokoh-tokoh terdahulu demi kesejahteraan negara.

Ronnie hari ini mengumumkan keputusannya menyertai PBM dalam satu sidang media menerusi siaran langsung di Facebook beliau dengan dihadiri Presiden PBM yang juga Ahli Parlimen Julau, Larry Sng.

Langkah tersebut menamatkan tempoh lebih tiga tahun beliau bergerak secara bebas tanpa menganggotai mana-mana parti politik.

Ronnie sebelum ini berkhidmat bersama DAP selama 41 tahun dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu bagi beberapa penggal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast