KUALA LUMPUR – Kerajaan memainkan peranan besar untuk menghubungkan bakat dengan peluang yang betul agar tidak membiarkan anak muda ketinggalan hanya kerana mereka tidak tahu di mana hendak mengakses latihan, pensijilan atau peluang industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bakat tak seharusnya disia-siakan hanya kerana golongan berkenaan tidak pernah diberi peluang yang sewajarnya.
Beliau sentiasa percaya bakat adalah universal tetapi peluang tidak sedemikian kerana ia boleh muncul daripada mana-mana keluarga, komuniti dan latar belakang.
Namun tegas beliau, akses kepada peluang mungkin tidak selalunya sama kepada setiap individu.
“Langkah seterusnya hari ini adalah untuk memastikan kemahiran diterjemahkan kepada kemajuan sebenar.
“Kita mesti membina ekosistem di mana kemahiran yang lebih baik membawa kepada pekerjaan yang lebih baik, pendapatan yang lebih tinggi dan masa depan lebih terjamin.
“Inilah yang sepatutnya dicapai oleh pembangunan modal insan dan kita bukan sekadar menghasilkan pekerja untuk ekonomi.
“Kita sedang mewujudkan laluan untuk mobiliti sosial bagi mengangkat keluarga dan membolehkan generasi akan datang bergerak lebih jauh daripada generasi sebelum mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Mukmin Skills iaitu sebuah platform nasional di Malaysia yang diwujudkan oleh Pertubuhan Mukmin Nasional (MUKMIN) di sini malam ini.
Teks ucapan beliau dibaca Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pada majlis yang turut dihadiri Presiden Mukmin, Datuk Shahul Dawood.
Portal itu dibangunkan bagi memperkasa bakat, meningkatkan kebolehpasaran kerja, serta menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan boleh menyediakan dasar, pembiayaan dan ekosistem tetapi pembangunan modal insan tidak boleh disampaikan secara bersendirian.
Jelas beliau, ini kerana ia memerlukan pendekatan seluruh negara, yang menyatukan kerajaan, industri, institusi pendidikan, profesional dan komuniti.
Di sinilah katanya, peranan penting untuk Mukmin Skills sebagai jambatan antara bakat dan kemahiran, kemahiran dan industri serta akhirnya antara potensi dan kejayaan.
“Dalam konteks ini, pelancaran kemahiran Mukmin Skills adalah tepat pada masanya kerana menyatukan lebih daripada 150 organisasi India Muslim di bawah satu rangkaian.
“Saya ingin melihat kekuatan rangkaian komuniti ini berubah menjadi rangkaian bakat yang hebat.
“Saya ingin melihat lebih ramai golongan muda menerima latihan dan pensijilan profesional yang diiktiraf oleh industri; lebih banyak perkongsian mewujudkan perantisan, latihan amali dan pekerjaan langsung; dan akhirnya lebih ramai rakyat muda Malaysia muncul sebagai ahli teknologi, profesional, usahawan dan peneraju industri.
“Oleh itu, janganlah kita mengukur kejayaan Mukmin Skills dengan bilangan kursus yang dianjurkan atau peserta yang berdaftar.
“Ukurlah dengan bilangan kehidupan yang diubah, keluarga yang dibangkitkan dan masa depan yang dicipta,” katanya. – MalaysiaGazette















