Dr. Mohd Izani Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini bakal memberikan ‘durian runtuh’ kepada semua lapisan masyarakat menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini, susulan prestasi ekonomi negara yang semakin mengukuh.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Mohd Izani Mohd Zain berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilihat mempunyai ruang untuk menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat, termasuk dalam bentuk tunai, hasil penjimatan perbelanjaan kerajaan dan institusi menerusi amalan anti-sakau yang dilaksanakan.

Malah, Belanjawan 2027 diyakini lebih berorientasikan kebajikan rakyat, selain meneruskan usaha memperkukuh perbelanjaan pembangunan bagi menangani tekanan kos sara hidup dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Rakyat akan mula menikmati habuan yang lebih besar hasil pembangunan negara selepas lebih tiga tahun Anwar menjadi perdana menteri dan Kerajaan Madani pastinya mahu rakyat, terutama golongan bawahan, turut merasai hasil kemajuan yang dicapai.

“Saya kira ini satu khabar gembira buat rakyat Malaysia kerana melalui bantuan-bantuan ini, rakyat dibantu dan dapat diringankan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Izani berharap bantuan yang disediakan kerajaan bukan sekadar bersifat jangka pendek, sebaliknya mampu membantu rakyat berdikari serta meningkatkan sumber pendapatan secara lebih lestari dalam jangka panjang.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah membantu meningkatkan taraf kehidupan dan daya tahan ekonomi isi rumah.

Kerajaan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Parlimen menjelang awal Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast