Wong Cheng.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi Parlimen berkenaan secara sukarela berkuat kuasa hari ini.

Peletakan jawatan itu dinyatakan Wong Chen menerusi surat rasmi bertarikh 5 Ogos 2026 yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Menurut surat berkenaan, peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa pada Isnin, 10 Ogos 2026, pukul 5 petang.

“Saya ingin mengemukakan secara rasmi peletakan jawatan saya sebagai Ahli Dewan Rakyat dan mengosongkan kerusi P.104 Parlimen Subang secara sukarela.

“Peletakkan jawatan ini akan berkuatkuasa pada Isnin, 10 Ogos 2026, pukul 5 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong Chen turut memaklumkan bahawa notis berkenaan disampaikan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan bertarikh 5 Ogos 2026 bagi memberikan tempoh tiga hari bekerja kepada pentadbiran Parlimen menguruskan segala proses serta dokumentasi berkaitan kekosongan jawatan berkenaan.

Dalam surat sama, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta seluruh warga Parlimen Malaysia atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang tiga penggal beliau berkhidmat sebagai ahli Parlimen.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan seluruh warga Parlimen Malaysia atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang baik selama tiga penggal saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Chen sebelum ini dilapor antara ahli Parlimen yang hadir pada program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan pengambilalihan Parti Bersama, Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast