Manivanan Gowin membuat laporan polis berkaitan perjalan proses pengundian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembila di Balai Polis Rompin, hari ini

KUANTAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap beberapa perkara yang didakwa berlaku pada hari pengundian di N.07 DUN Jeram Padang, termasuk insiden membabitkan kertas berwarna biru yang mempunyai tulisan dan logo Barisan Nasional (BN).

Manivanan Gowin yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) di Jeram Padang berkata, laporan polis telah dibuat pada 10 Julai lalu bagi membolehkan setiap persoalan berkaitan perjalanan proses pengundian dinilai melalui siasatan bebas, profesional dan menyeluruh.

Menurutnya, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai satu kejadian terpencil di Saluran 5, Sekolah Kebangsaan Rompin, sebaliknya wajar diperluaskan kepada saluran lain di DUN berkenaan dan, jika perlu, saluran lain di Negeri Sembilan.

“Antara perkara utama yang saya laporkan ialah penemuan kertas berwarna biru yang mempunyai tulisan ‘UNDILAH BARISAN NASIONAL’ berserta logo BN pada kedua-dua belah kertas tersebut.

“Saya melihat beberapa pengundi membawa kertas berkenaan ke dalam bilik mengundi dan pada satu ketika kertas tersebut berada di meja petugas serta dikendalikan oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Manivanan berkata, persoalan utama yang perlu dijawab melalui siasatan ialah tujuan sebenar kewujudan bahan tersebut serta bagaimana ia boleh berada dalam bilik mengundi dan dikaitkan dengan proses pengundian.

Selain isu kertas berkenaan, beliau turut meminta siasatan meneliti proses bantuan kepada pengundi uzur, orang kurang upaya (OKU) atau mereka yang tidak berupaya membuat penandaan sendiri.

Katanya, aspek yang perlu diperiksa termasuk pematuhan prosedur Orang Yang Dipercayai dan penggunaan Borang 10, termasuk dakwaan bahawa petugas SPR menanda kertas undi bagi pihak pengundi terbabit.

“Laporan tersebut turut membangkitkan persoalan mengenai komunikasi KTM dengan pengundi ketika proses pengundian berlangsung, pengendalian teguran dan bantahan yang dikemukakan oleh ejen calon serta keputusan berkaitan penerimaan atau penolakan kertas undi,” katanya.

Dalam pada itu, Manivanan turut meminta aspek neutraliti dan kemungkinan konflik kepentingan dalam pelantikan petugas pilihan raya diteliti.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan bermaksud mempertikaikan hak seseorang guru atau guru besar untuk dilantik sebagai petugas pilihan raya.

Sebaliknya, katanya, siasatan perlu menentukan sama ada garis panduan berkaitan hubungan setempat, lokasi tempat mengundi, konflik kepentingan serta persepsi keberpihakan telah dipatuhi.

Sehubungan itu, beliau menggesa PDRM dan SPR mendapatkan keterangan daripada semua pihak berkaitan termasuk KTM, petugas SPR, ejen calon serta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian.

Beliau juga meminta semua bahan bukti berkaitan, termasuk kertas berwarna biru berkenaan, direkodkan dan dipelihara bagi membolehkan asal-usul serta penggunaannya ditentukan.

Malah, semua rekod rasmi Saluran 5 turut diminta disemak secara terperinci, termasuk nombor siri kertas undi, catatan KTM, rekod bantahan ejen calon serta dokumen berkaitan proses pengiraan undi.

Menurut Manivanan, siasatan juga perlu menentukan sama ada mana-mana kejadian yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 atau mana-mana undang-undang berkaitan.

“Sekiranya sesuatu kesalahan dapat dibuktikan melalui siasatan, tindakan sewajarnya hendaklah diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Laporan ini dibuat bukan untuk membuat tuduhan melulu terhadap mana-mana individu atau pihak, tetapi bagi melindungi integriti, ketelusan, kebebasan dan keyakinan rakyat terhadap proses demokrasi,” katanya.

Beliau turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM dan SPR, termasuk memberikan keterangan lanjut mengenai kronologi kejadian serta membantu mengenal pasti individu atau bahan yang dilihatnya pada hari pengundian.

Manivanan berharap siasatan dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh serta hasilnya dimaklumkan melalui saluran sewajarnya demi kepentingan awam dan keyakinan terhadap proses pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast