SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin melontarkan kritikan tajam terhadap pihak didakwa menggunakan isu kaum dan agama sebagai ‘bulu ayam’ untuk menyembunyikan kepentingan politik peribadi.
Menurut beliau, politik yang baik amat penting bagi memastikan dasar yang baik dapat dilaksanakan selain menegaskan rakyat kini sudah muak dengan politik berasaskan ketakutan, kebencian dan perkauman.
“Saya dari awal sentiasa yakin dan percaya bahawa rakyat jemu dengan politik ketakutan, politik kebencian, politik perkauman, politik yang setiap pagi bangun dan bertanya, siapa yang kita mahu rakyat marah hari ini?
“Melayu ditakutkan dengan Cina, Cina ditakutkan dengan Melayu, Muslim ditakutkan dengan bukan muslim pula ditakutkan dengan muslim,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS2) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Afif berkata, ketika masyarakat terus disibukkan dengan usaha mencari pihak untuk dijadikan musuh, masalah sebenar rakyat seperti kos perumahan, gaji rendah, kesesakan lalu lintas, banjir dan keperluan hospital masih belum selesai.
Katanya, kebencian tidak mampu membayar sewa rumah, perkauman tidak akan memendekkan perjalanan ke tempat kerja, manakala fitnah pula tidak akan membina hospital.
“Rakyat tidak boleh makan kebencian. Kebencian tidak membayar sewa. Perkauman tidak memendekkan perjalanan ke tempat kerja. Fitnah tidak membina hospital,” katanya.
Dalam pada itu, Afif turut menggunakan peribahasa Melayu ‘musang berbulu ayam’ bagi memberi gambaran terhadap pihak yang bercakap mengenai perpaduan dan persaudaraan tetapi mempunyai tindakan serta kepentingan berbeza di sebaliknya.
Beliau berkata, politik yang matang tidak seharusnya mempermainkan kepercayaan rakyat dengan menjadikan agama atau kaum sebagai alat untuk meraih sokongan.
“Musang tidak masuk ke reban sambil mengaku dirinya musang. Kalau nampak taringnya, ayam akan lari. Hari ini bercakap persaudaraan, bercakap tentang penyatuan, bercakap tentang ukhuwah tetapi esok mengejar kuasa.
“Hari ini berjanji setia, esok kepentingan diri sendiri mengatasi segala-galanya,” katanya.
Afif menegaskan, perbezaan politik dan perdebatan keras adalah perkara biasa dalam demokrasi namun kepercayaan rakyat tidak seharusnya dipermainkan.
“Kita boleh berbeza politik, kita boleh berdebat keras, tetapi jangan kita mempermainkan kepercayaan rakyat. Jangan jadikan agama atau kaum sebagai bulu ayam untuk menyembunyikan musang kepentingan politik peribadi,” katanya.
Beliau turut menyindir pihak yang gemar menentukan siapa yang dianggap ‘tidak cukup Melayu’ atau ‘tidak cukup Islam’ dengan menegaskan, fokus kerajaan sepatutnya diberikan kepada penyelesaian masalah kehidupan rakyat.
Katanya, Selangor perlu menawarkan politik harapan yang mengutamakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat berbanding politik identiti.
“Biarlah orang lain menjual ketakutan. Kita tawarkan harapan. Biar mereka sibuk menentukan siapa tidak cukup Melayu, siapa tidak cukup Islam, siapa patut dimusuhi.
“Kita sibuk menentukan bagaimana gaji boleh ditingkatkan, bagaimana rumah boleh dimiliki, bagaimana hospital boleh dibina, bagaimana banjir boleh diselesaikan,” katanya.
Menurutnya, politik harapan bukan bermaksud bersikap naif terhadap permainan politik sebaliknya masyarakat perlu mengenali pihak yang menurutnya mempunyai perbezaan antara kata-kata dan tindakan.
Selain itu, katanya, matlamat politik seharusnya memastikan rakyat dapat melihat masa depan yang lebih baik, bukannya terus terperangkap dalam politik kebencian.
Jelasnya, rakyat sepatutnya menilai pemimpin berdasarkan apa yang mahu dibina, termasuk penyediaan rumah mampu milik, peluang pekerjaan, kemudahan hospital, pengangkutan awam, sekolah dan bandar yang selamat.
“Saya setuju dengan Yang Berhormat Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali). Selangor dan negara memerlukan politik harapan, politik yang apabila rakyat melihat kita, mereka tidak bertanya siapa yang dia benci.
“Tetapi, apa yang dia mahu bina? Rumah, pekerjaan, hospital, pengangkutan, sekolah, bandar yang selamat dan membina masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Afif berkata, kejayaan pembangunan Selangor tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau pencapaian sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sebaliknya, katanya, ukuran sebenar adalah sama ada rakyat biasa masih mampu membina kehidupan dan masa depan di Selangor.
“Adakah kehidupan rakyat semakin makmur? Bagi saya, itulah ujian sebenar rancangan Selangor kedua. Bukan hanya sama ada KDNK mencapai sasaran, tetapi sama ada seorang anak muda boleh berkata, ‘Aku masih mampu membina kehidupan dan masa depan di negeri Selangor’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















