Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang yang keluar dari Dewan Rakyat sebagai protes terhadap perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai ‘drama politik’ tidak matang.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali menegaskan, alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu hadir untuk membentangkan laporan RCI TH serta menjawab persoalan tidak seharusnya dijadikan asas untuk mengganggu perjalanan persidangan.

“Apakah tanpa kehadiran Perdana Menteri yang menjalani rawatan, beliau wajib hadir dan sidang Dewan Rakyat wajar ditangguhkan?

“Bukankah kerajaan ditadbir Kabinet yang mempunyai dua Timbalan Perdana Menteri dan berpuluh-puluh anggota Kabinet? Bukankah urusan kerajaan merupakan tanggungjawab kolektif anggota Kabinet?” soalnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ibrahim berkata, segala perbahasan di Dewan Rakyat direkodkan dan boleh dirujuk oleh Perdana Menteri pada bila-bila masa, termasuk ketika beliau menjalani rawatan.

Beliau berkata, perkembangan perbahasan juga boleh diikuti secara dalam talian atau menerusi siaran televisyen, justeru tidak timbul persoalan bahawa ketiadaan Perdana Menteri menyebabkan kerajaan tidak dapat memberikan respons terhadap isu yang dibangkitkan.

“Perbahasan direkodkan dan boleh dirujuk. Perdana Menteri boleh mengikuti perbahasan melalui dalam talian atau siaran televisyen. Apa masalah sebenarnya?” soalnya.

Dalam pada itu, Ibrahim mendakwa, tindakan pembangkang berkenaan lebih kepada permainan politik dan berpunca daripada kebimbangan bahawa isu RCI TH akhirnya boleh memberi kelebihan politik kepada kerajaan.

Beliau mendakwa, perkara yang didedahkan melalui RCI TH berkenaan berkait dengan tempoh pemerintahan Barisan Nasional (BN), sekali gus menjadikan isu berkenaan sensitif kepada parti-parti tertentu.

“Menurut hemat saya, ini semua drama politik yang tidak matang, kebudakan atau gelisah kerana ia memberi kelebihan kepada kerajaan sebab isu RCI TH ini adalah zaman pemerintahan BN,” katanya.

Menurut Ibrahim, tindakan pembangkang itu juga boleh dilihat sebagai usaha untuk membuktikan kepada UMNO bahawa mereka sanggup mempertahankan pemimpin parti berkenaan yang dikaitkan dengan isu dalam RCI TH.

“Pas dan sekutu sejiwanya mahu tunjuk dan buktikan betapa besar pengorbanannya membela BN atau UMNO kerana RCI TH melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO.

“Justeru itu, UMNO akan terhutang budi kepada PAS dan sekutu sejiwanya,” katanya.

Beliau turut menggunakan analogi hubungan yang kembali terjalin antara Pas dan UMNO bagi menyindir pendirian pembangkang berhubung isu tersebut.

“Mereka bersedia bersama demi cinta yang dirujuk semula walaupun janda ini sudah lakukan macam-macam hal,” katanya.

Sehubungan itu, Ibrahim menggesa pembangkang supaya menghentikan apa yang disifatkannya sebagai permainan politik dan kembali memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat serta usaha menegakkan kebenaran.

“Berhentilah main drama politik lebih-lebih. Belalah rakyat dan tegakkanlah kebenaran. Allah Maha Mengetahui,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast