KUALA LUMPUR – Tindakan ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) keluar Dewan Rakyat sebagai tanda bantahan terhadap sidang khas berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) diselar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, persidangan itu tidak sepatutnya dihentikan hanya kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir atas faktor kesihatan kerana ahli Parlimen lain masih mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan.
Beliau bersetuju Anwar perlu memberi penjelasan selepas pulih selain mengakui terdapat kritikan berasas terhadap pentadbiran kerajaan dan pelan pemulihan TH.
“Namun Parlimen bukan pentas seorang individu. Hanya kerana Perdana Menteri sakit, tidak bermakna kita perlu berhenti bekerja.
“Kita dibayar gaji ribuan ringgit, pencen terjamin dan menerima pelbagai elaun untuk menjalankan peranan semak dan imbang tetapi kita gagal memainkan peranan itu,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian selepas ahli Parlimen PN keluar dari Dewan pagi tadi sebagai tanda bantahan susulan sidang khas itu diteruskan tanpa kehadiran Anwar.
Bekas Presiden Parti Muda itu berkata, laporan RCI berkenaan bukan berkaitan Perdana Menteri atau mana-mana parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan jutaan pendeposit TH.
Katanya, lebih 10 juta pendeposit Islam bergantung kepada ahli Parlimen untuk memainkan peranan dalam mencari penyelesaian menyeluruh demi melindungi kepentingan dan maruah mereka.
“Kalau ada fakta, bahaskan. Kalau ada salah laku, dedahkan,” katanya.
Pas mengetuai tindakan keluar dewan itu manakala Ahli Parlimen Bersatu yang sehaluan dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekal berada di dalam dewan. – MalaysiaGazette















