Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebahagian ahli Parlimen pembangkang meninggalkan sidang khas Dewan Rakyat hari ini dan memboikot perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan bercanggah dengan semangat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang juga Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan, siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam Laporan RCI hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa kompromi.

Sehubungan itu, tindakan pembangkang amat dikesali kerana perbahasan tersebut memberi ruang kepada semua ahli Parlimen meneliti dapatan RCI, mendapatkan penjelasan kerajaan serta mengemukakan pandangan dan cadangan demi kepentingan pendeposit TH.

Katanya, tindakan meninggalkan Dewan Rakyat ketika isu berkenaan sedang dibahaskan bukan pendekatan yang wajar sekiranya benar-benar mahu mencari kebenaran dan memastikan segala persoalan berkaitan TH mendapat jawapan.

Menurut Sheikh Umar, jika benar pembangkang mahu mencari kebenaran berhubung laporan RCI berkenaan, tempatnya adalah di meja perbahasan dan bukannya dengan meninggalkan Dewan Rakyat.

“Jika benar mahu mencari kebenaran, maka tempatnya adalah di meja perbahasan, bukan dengan meninggalkan Dewan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Laporan RCI itu bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya menyentuh kepentingan sebuah institusi yang menguruskan wang dan amanah jutaan umat Islam di negara ini.

Oleh itu, semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dapatan laporan tersebut diteliti secara serius serta kelemahan tadbir urus yang dikenal pasti tidak berulang.

“Saya menyeru semua Ahli Parlimen – baik kerajaan atau pembangkang supaya meletakkan kepentingan pendeposit Tabung Haji dan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik kepartian.

“Ini bukan soal politik siapa menang atau siapa kalah. Ini soal amanah. Ini soal tadbir urus. Ini soal wang rakyat dan pendeposit Tabung Haji. Dan ini soal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Awal hari ini, sebahagian besar ahli Parlimen blok Pembangkang bertindak keluar dewan selepas usul penangguhan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan RCI mengenai TH ditangguhkan, ditolak Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum sesi penerangan menteri bermula, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Johari menegaskan, ia tetap diteruskan seperti dijadualkan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast