Lima pemilik syarikat dan seorang perunding perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan buat tuntutan palsu.

JOHOR BAHRU – Lima pemilik syarikat dan seorang perunding perniagaan bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan berasingan berkaitan tuntutan palsu insentif Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, Junizan Yacob, 48; Misni Arsan, 66; Mohd Izuan Sohaini, 44; Norazlinah Mohammad Hassan, 43; Mohd Sam Anagin, 60, dan Datuk Rosli Buang, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut kertas pertuduhan, Junizan yang merupakan pemilik Damai Sejagat berdepan empat pertuduhan, manakala Misni (pemilik Basri Network Enterprise) didakwa atas tiga pertuduhan dan Mohd. Izuan (pemilik Kaizer Maju Enterprise) berdepan dua pertuduhan.

Sementara itu, Mohd Sam (pemilik Sam Sri Kurnia Enterprise) dan Norazlinah (pemilik Azli & Lin Enterprise) masing-masing berdepan satu pertuduhan atas kesalahan membuat tuntutan palsu bagi program insentif berkenaan.

Rosli pula selaku perunding syarikat didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan seorang pemilik syarikat terbabit untuk melakukan kesalahan yang sama.

Mengikut pertuduhan, kesemua pemilik syarikat didakwa menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso yang mengandungi pernyataan palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa premis perniagaan di Parit Sulong, Sri Medan dan Kampung Parit Warijo dalam daerah Batu Pahat antara 14 Mac hingga 11 Jun 2024.

Kelima-lima pemilik syarikat didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), manakala Rosli didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Chan Lee Lee bersama-sama Pegawai Pendakwa Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari.

Kelima-lima pemilik syarikat diwakili peguam Noor Asyikin Syafiqah Atham Malik, manakala Rosli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagi Rosli, Norazlinah dan Mohd Sam manakala Misni dan Junizan pula dikenakan jaminan RM12,000, manakala Mohd Izuan sebanyak RM10,000, masing-masing dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diperintahkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 September ini bagi sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen serta pelantikan rasmi peguam bagi Rosli. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast