KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, RSN Rayer mempersoalkan sama ada `sandiwara’ pemimpin Pas yang tidak mahu membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen kelmarin berkemungkinan besar kerana takut menyinggung UMNO sehingga hilang peluang untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeru (PRN) Melaka.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Jelutong berkenaan mempersoalkan perjuangan sebenar Pas sebagai sebuah parti politik.
“Kalau betul Pas membela agama Islam dan membela Melayu, kenapa semua wakil rakyat Pas meninggalkan Dewan Rakyat pada 11hb Ogos 2026 tanpa mengambil bahagian dalam perbahasan?” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Rayer turut mempersoalkan sama ada Pas akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut pihak yang bertanggungjawab diambil tindakan memandangkan semua kini sudah mengetahui pihak yang `sakau’ wang TH.
Kelmarin, wakil rakyat pembangkang termasuk daripada Pas memutuskan tidak menyertai sidang khas bagi membincangkan laporan RCI TH di Dewan Rakyat.
Keputusan wakil rakyat pembangkang itu dibuat selepas usul mereka untuk menangguhkan sidang khas berkenaan ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ketika sidang khas itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hasan membangkitkan peraturan mesyuarat 13 meminta supaya ia ditangguhkan dengan alasan tidak dihadiri Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette
















