Antara individu yang dituduh membuat tuntutan palsu terhadap Perkeso di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU – Empat pengarah dan pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan berasingan berkaitan tuntutan palsu insentif Program Daya Kerjaya 2.0 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada 2024.
Tertuduh, Tan Soon Long, 37; Liew Kam Hin, 51, dan pasangan suami isteri, Lee Thiam Hee, 50, dan Toh Siew Ngo, 44, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, N Kanageswari.
Soon Long yang merupakan pengarah syarikat U Spa 3333 Sdn Bhd dan Lucky Durian Sdn Bhd berdepan sembilan pertuduhan membabitkan dua syarikat tersebut, manakala Kam Hin yang juga pengarah syarikat International Ecological Economy Business Academy Sdn Bhd berdepan empat pertuduhan.
Pasangan suami isteri, Thiam Hee dan Siew Ngo pula yang merupakan pemilik syarikat Easyway Bus Enterprise masing-masing berdepan satu pertuduhan.
Toh Siew Ngo bersama-sama tiga lagi dituduh buat tuntutan palsu terhadap Perkeso di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini.
Soon Long, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa dengan niat hendak memperdaya prinsipalnya dengan menyerahkan dokumen Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso yang mengandungi pernyataan palsu.
Sementara itu, Thiam Hee didakwa bersubahat dengan isterinya yang juga pemilik syarikat terbabit dengan memberi seorang ejen PERKESO Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang mengandungi pernyataan palsu dengan niat memperdayakan prinsipalnya.
Kesemua perbuatan keempat-empat tertuduh itu dilakukan di Taman Sri Tebrau, Taman Daya dan Taman Setia Indah di dalam daerah Johor Bahru antara 4 April hingga 27 Ogos 2024.
Soon Long, Kam Hin dan Siew Ngo didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) manakala Thiam Hee didakwa mengikut Seksyen 28 (1)(c) akta yang sama.
Seorang daripada empat tertuduh yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat tuntutan palsu terhadap Perkeso
Kesemua mereka berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Lee Lee bersama-sama Pegawai Pendakwa Alice Voon Mei Ling, Fazal Lisam Abidin dan Ameera D’Aneez Mohd Shukari, manakala tertuduh suami isteri diwakili peguam Xander Lim Wait Keong manakala Soon Long dan Kam Hin diwakili Dahlia Tan Pui San.
Seorang daripada tertuduh yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan jumlah jaminan diberikan kepada Soon Long berjumlah RM30,000 diikuti Kam Hin (RM12,000) dan RM10,000 kepada Thiam Hee dan Siew Ngo, masing-masing dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut memerintahkan keempat-empat tertuduh untuk melaporkan diri ke Pejabat SPRM pada setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain menetapkan tarikh 18 September depan sebagai sebutan semula kes.- MalaysiaGazette