Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersama Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim hadir pada Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu kembali memperkukuh kekuatan di peringkat akar umbi dan memperbaharui strategi politik bagi memastikan sokongan rakyat dapat diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata, pengalaman pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan menunjukkan kekuatan akar umbi parti masih belum cukup kukuh untuk menghasilkan kemenangan.

Menurut beliau, pilihan raya bukan sekadar ruang mengukur populariti, sebaliknya medan menilai sejauh mana rakyat menyokong perjuangan serta nilai yang dibawa parti.

“Tidak memadai untuk kita sekadar popular. Apa yang lebih penting ialah membina organisasi yang kuat, tersusun dan mampu menterjemahkan sokongan rakyat kepada kemenangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR 2026 di MITC di sini, hari ini.

Kamil berkata, PKR juga perlu menerima isyarat yang diberikan rakyat dengan hati dan fikiran terbuka, selain menilai semula pendekatan serta strategi politik yang digunakan.

Katanya, cabaran perjuangan ketika berada di luar kerajaan dan ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah berbeza, justeru parti tidak boleh berputus asa dengan perkembangan semasa.

“Kita perlu membina naratif yang lebih kuat, lebih meyakinkan dan lebih dekat dengan denyut nadi rakyat supaya mereka kembali memberikan kepercayaan kepada kita,” ujarnya.

Kamil berkata, sejarah perjuangan PKR sejak 1998 membuktikan perubahan besar tidak berlaku dalam tempoh singkat.

Menurutnya, selepas melalui titik paling sukar pada 2004, perjuangan reformasi berjaya mencetuskan gelombang baharu pada 2008 apabila pembangkang buat pertama kali berjaya menembusi dominasi dua pertiga di Parlimen.

“Jangan berputus asa. Jangan bersedih. Sebaliknya, kita perlu memperkukuh semangat, memperkuat tekad dan memperbaharui iltizam.

“Insya-Allah, 10 tahun selepas 2018, kita mampu mencipta satu lagi kejayaan untuk PKR dan rakyat Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Kamil menyeru anggota parti supaya memanfaatkan kongres sebagai ruang menyampaikan pandangan, kritikan membina, cadangan dan nasihat bagi memperbaiki kelemahan organisasi.

Beliau berharap anggota PKR dapat kembali ke kawasan masing-masing dengan tekad baharu, semangat lebih kuat dan keyakinan lebih tinggi untuk meneruskan perjuangan.

“Perjuangan asal kita, seperti yang sering diingatkan oleh Presiden, adalah untuk melakukan kebaikan dan terus melakukan perubahan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast