Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersama Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek serta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Muhammad Kamil Abdul Munim hadir pada Perasmian Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR 2026 sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 14 OGOS 2026.

AYER KEROH – PKR tidak akan mampu menjadi sebuah organisasi yang kuat sekiranya wujud ‘parti dalam parti’ atau kelompok kuasa tersembunyi yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan anggotanya.

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, semua anggota parti khususnya Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan wanita perlu mengetepikan perbezaan serta mengelakkan tenaga parti terus dihabiskan untuk perbalahan dalaman.

“Kita ini tak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya parti dalam parti, adanya tangan yang mengundi satu, ataupun adanya tangan baik, struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang lain.

“Kita juga tak mampu kuat sebagai sebuah organisasi, setiap jam yang kita guna untuk berlawan bertelagah sekarang ini adalah jam yang tidak kita gunakan untuk memelihara hati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional AMK dan Wanita PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Nurul Izzah berkata, PKR kini perlu bergerak ke fasa baharu dengan memberi tumpuan kepada agenda perjuangan, pemulihan ekonomi serta usaha memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya umum dan pilihan raya negeri akan datang.

Menurutnya, tempoh yang ada sebelum pilihan raya perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan tidak seharusnya dihabiskan dengan perbalahan sesama sendiri.

“Walaupun ada yang tidak sabar-sabar mahu mengadakan pilihan raya, masa yang kita ada sekarang masih berharga.

“Kita perlu maksimumkan masa dan peluang yang kita ada untuk berkongsi dengan rakyat dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyeru anggota kedua-dua sayap parti supaya saling mengenali, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain, selain menghayati semangat untuk ‘move on’ daripada perpecahan lalu.

Katanya, penyatuan dalam parti tidak seharusnya dibina atas kepentingan politik atau kejayaan semata-mata, sebaliknya berteraskan prinsip keadilan yang perlu diterapkan dalam parti sebelum dibawa kepada rakyat.

“Jadi, saya ingin fokus kita memulakan fasa kepada akhirnya, merawat ekonomi, bersaing dalam melakukan kebaikan pasca pilihan raya, menerusi kemenangan dalam pilihan raya sebenar, iaitu pilihan raya umum dan pilihan raya negeri.

“Bukan sesuatu tugas yang mudah. Saya pasti kita fighting daily secara hari-hari, terus bertegang pada benda yang sama kerana kita telah melalui pahit manis, perit getir sepanjang perjuangan,” katanya.

Nurul Izzah turut mengingatkan, kemenangan dalam pilihan raya bukan bermakna perjuangan selesai, sebaliknya ia membawa amanah lebih besar untuk memastikan kuasa digunakan dengan baik dan benar.

“Yang menjadi pembangkang itu memang mudah. Resistance, berjalan. Berkuasa dengan baik, berkuasa dengan benar adalah kerja yang jauh lebih susah.

“Berkuasa dengan baik juga menghadapi pelbagai godaan untuk melakukan perkara yang salah. Maka setiap kali godaan itu tiba, soalan yang lebih asas ialah untuk siapa sebenarnya kita berjuang?” katanya.

Beliau turut menggesa anggota PKR menetapkan garis merah yang tidak boleh dilanggar, khususnya dalam soal prinsip dan integriti.

Nurul Izzah turut berkata, langkah membezakan kompromi akan membawa kebaikan lebih besar dengan kompromi yang membuka ruang kepada kecelakaan dan rasuah.

“Garis ini tidak boleh dilanggar, kita kena pertahankan garis merah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast