KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengaktifkan lencongan trafik di laluan antara Damansara-Shah Alam di KM13.60 hingga KM14.35, kedua-dua arah di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) selama enam bulan, bermula hari ini.
PLUS dalam kenyataan berkata, ia bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan jejantas pejalan kaki yang melintasi lebuh raya serta kerja-kerja penyelenggaraan oleh Pinnacle Homes AD Sdn. Bhd. (PHADSB).
Menurut PLUS, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik yang disediakan serta arahan petugas bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja berkenaan.
“Pengguna juga disaran merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi aplikasi PLUS, media sosial rasmi PLUS termasuk X @plustrafik, serta paparan mesej elektronik (VMS) di lokasi terpilih,” menurut kenyataan itu.
PLUS turut memaklumkan pengguna yang memerlukan bantuan kecemasan di lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1-800-88-0000.- MalaysiaGazette















