KUALA LUMPUR – Keputusan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengambil cuti sementara bagi menyambung pengajian tidak seharusnya dilihat sebagai langkah berundur daripada politik, sebaliknya peluang untuk beliau memperkukuh ilmu, pengalaman dan persediaan sebagai pemimpin generasi akan datang.
Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, keputusan itu wajar dilihat secara positif kerana Nurul Izzah masih kekal sebagai anggota PKR dan menegaskan sokongannya terhadap perjuangan parti di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pengalaman panjang Nurul Izzah dalam politik, termasuk melalui era reformasi, menjadi anggota Parlimen serta memegang jawatan Timbalan Presiden PKR, menjadikan keputusan untuk melanjutkan pengajian sebagai satu pelaburan jangka panjang.
“Ini bukan langkah berundur. Ini langkah menyusun semula kekuatan. Ini bukan meninggalkan perjuangan.
“Ini memperkayakan perjuangan dengan ilmu,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Shahbudin berkata, Nurul Izzah mempunyai peluang untuk memperluas pengetahuan, membina jaringan antarabangsa, mengembangkan pemikiran strategik serta memperkukuh pengalaman kepimpinan sepanjang tempoh pengajiannya.
Beliau berkata, pengalaman Nurul Izzah yang pernah melalui dunia pembangkang, gerakan reformasi, kemenangan dan kekalahan politik serta dinamika membina kerajaan dan memimpin parti memberikan asas kukuh untuk beliau terus mengembangkan kapasiti kepimpinan.
“Seorang pemimpin tidak boleh berhenti belajar. Semakin tinggi cita-cita kepimpinan, semakin tinggi tuntutan ilmunya,” katanya.
Dalam pada itu, Shahbudin melihat peringatan Nurul Izzah mengenai bahaya kewujudan ‘dua nakhoda dalam satu kapal’, parti dalam parti dan perpecahan dalaman sebagai mesej penting kepada kepimpinan PKR.
“PKR tidak seharusnya membazirkan tenaga dengan konflik dalaman ketika rakyat lebih memerlukan kerajaan memberi tumpuan kepada isu ekonomi, kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, perumahan dan masa depan generasi muda.
“PKR perlu kembali memberi penekanan kepada prinsip keadilan, reformasi, amanah dan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut berkata, penekanan terhadap soal ‘red lines’, amanah dan bahaya penyalahgunaan kuasa perlu dijadikan pedoman semua pemimpin, sama ada berada dalam kerajaan atau pembangkang.
“Politik tanpa prinsip akan menjadi sekadar perebutan jawatan. Tetapi politik dengan prinsip boleh menjadi perjuangan,” katanya.
Shahbudin turut menyentuh perkembangan perpecahan politik dalam PKR dan gerakan reformasi dengan menegaskan sejarah perjuangan parti itu tidak boleh dipadam hanya kerana terdapat tokoh yang meninggalkan parti atau menubuhkan wadah politik baharu.
Katanya, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang, manakala persaingan dalam parti seharusnya berasaskan gagasan dan idea, bukannya perebutan jawatan.
“PKR kini memerlukan satu perkara yang paling penting, kesatuan arah,” katanya.
Shahbudin berkata, walaupun beliau tidak menyatakan Nurul Izzah sebagai bakal pengganti bapanya, Anwar, beliau melihat anak sulung Perdana Menteri itu mempunyai asas untuk membina dirinya sebagai antara pemimpin nasional generasi akan datang.
Katanya, tempoh pengajian yang bakal dilalui Nurul Izzah boleh menjadi ruang untuk beliau kembali ke gelanggang politik dengan ilmu yang lebih luas, pengalaman lebih matang dan perspektif antarabangsa yang lebih kukuh.
Beliau berkata, Nurul Izzah tidak wajar dilihat semata-mata sebagai ‘anak PM’ kerana perjalanan politiknya sendiri bermula sejak era reformasi ketika bapanya dipenjarakan selepas krisis politik 1998.
Menurutnya, bersama ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah antara individu yang dikenali dalam perjuangan reformasi sehingga menerima gelaran ‘Puteri Reformasi’.
“Gelaran itu bukan diberikan kerana beliau anak kepada Anwar Ibrahim. Ia lahir kerana masyarakat melihat sendiri keberanian seorang anak muda yang berdiri bersama ibunya ketika keluarganya diuji oleh kuasa politik,” katanya.
Dalam pada itu, Shahbudin berkata, perbahasan mengenai kepimpinan wanita tidak seharusnya terikat kepada stereotaip bahawa wanita tidak mampu memimpin.
Beliau berkata, ukuran utama dalam menilai seseorang pemimpin sepatutnya berasaskan keupayaan, amanah, integriti, kebijaksanaan dan mandat rakyat.
“Seorang pemimpin lelaki yang tidak amanah tidak menjadi lebih baik hanya kerana dia lelaki.
“Begitu juga seorang wanita yang mempunyai kemampuan, integriti dan mandat rakyat tidak sepatutnya dinafikan semata-mata kerana jantinanya,” katanya.
Shahbudin berkata, masa depan politik Nurul Izzah tidak perlu ditentukan terlalu awal, termasuk dakwaan bahawa beliau bakal menjadi Perdana Menteri wanita pertama Malaysia.
Sebaliknya, katanya, perjalanan politik perlu dilalui secara berperingkat dan berdasarkan kemampuan serta mandat yang diterima.
“Hari ini mungkin waktunya untuk beliau belajar. Esok mungkin waktunya untuk beliau kembali. Lusa mungkin waktunya untuk beliau memimpin.
“Suatu hari nanti, jika parti dan rakyat memberikan mandat, tidak mustahil Malaysia menyaksikan seorang wanita memegang jawatan tertinggi negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara itu mesti datang melalui kematangan, kemampuan dan mandat rakyat, bukan disebabkan faktor nama keluarga.
Katanya, cabaran terbesar Nurul Izzah adalah membuktikan beliau bukan sekadar anak kepada Anwar Ibrahim, sebaliknya mempunyai identiti, prinsip, ilmu dan kekuatan politiknya sendiri.
Shahbudin turut mengingatkan keputusan Nurul Izzah mengambil cuti untuk menyambung pengajian tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran perjalanan politiknya.
Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai tempoh untuk memperkayakan pengalaman, memperluas pemikiran dan memahami pendekatan pentadbiran negara lain.
“Jangan anggap cuti ini sebagai pengakhiran. Anggaplah ia sebagai masa untuk mengasah pedang sebelum kembali ke gelanggang,” katanya.
Beliau berkata, PKR dan Kerajaan MADANI sedang melalui ujian, manakala generasi baharu pula memerlukan kepimpinan baharu.
“`Puteri Reformasi’ itu tidak hilang. Dia cuma sedang menyusun langkah.
“Persoalan sama ada Nurul Izzah sudah bersedia untuk memimpin tidak perlu dijawab ketika ini kerana masa, perjuangan dan mandat rakyat akhirnya akan menentukan hala tuju politik beliau,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















