Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada media selepas perasmian Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini retak seperti didakwa bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (KJ).

Anwar berkata, dakwaan berkenaan lebih merupakan pandangan peribadi KJ yang dilihat dari sudut konflik atau perselisihan.

“Dia pandangan peribadi, jadi dia memang selalu lihat dari segi cara gaduh,” katanya.

Media arus perdana semalam melaporkan KJ mendakwa kepercayaan antara Anwar dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, didakwa berada pada tahap paling rendah sejak Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2022.

Menurut Khairy, keadaan itu susulan hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang semakin mencabar, khususnya selepas BN memilih bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam sidang media sama, Anwar berkata, beliau melihat hubungan politik bersama Zahid daripada sudut berbeza, termasuk usaha mewujudkan perdamaian dan kestabilan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya lihat dari segi cara berbeda. Dia jalur gaduh, saya jalur damai,” katanya.

Menurut Anwar, hubungan baik bersama Zahid dan UMNO turut diiktirafnya menerusi ucapan beliau sebelum ini, termasuk penghargaan terhadap peranan Presiden UMNO itu dalam memastikan kepaduan kerajaan.

“Sebab tadi saya ucap terima kasih dalam ucapan saya tentang peranan Datuk Seri Zahid dan UMNO dalam memeterai kepaduan mereka,” katanya.

Ditanya sama ada hubungan beliau dan Zahid di peringkat nasional masih baik, Anwar menjawab ringkas bahawa masih terdapat perselisihan tertentu, namun ia perkara biasa dalam politik.

“Di peringkat nasional masih baik? Ada gaduh dekat negeri ada sikit. Biasalah,” katanya.

Pada Julai lalu, Ahmad Zahid menegaskan hubungan beliau dengan Anwar dalam Kerajaan Perpaduan kekal baik, malah menyifatkan pelbagai spekulasi mengenai hubungan mereka sebagai gurauan politik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast