Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana dikhuatiri mewujudkan risiko gangguan institusi terhadap 20 universiti awam (UA).

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pemansuhan AUKU dari sudut positif melibatkan kebebasan akademik dan politik mahasiswa secara lebih luas dan kurang sekatan terhadap aktiviti politik, bersuara, berpersatuan dan mengurus kewangan sendiri.

Bagaimanapun ujar beliau, dari sudut negatif, pemansuhan terus tanpa akta pengganti boleh menyebabkan `kekosongan undang-undang’ (legal vacuum).

“Proses penggantian ini, sama ada melalui akta baharu atau mewujudkan perlembagaan khas bagi setiap UA, dijangka mengambil masa yang lama dan berpotensi mengganggu operasi harian.

“Ini kerana perlembagaan universiti, struktur Senat, lembaga pengarah, perjawatan, kewangan, dan tatatertib perlu digubal semula daripada asas,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini.

Hari ini semasa menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional PKR 2026, , Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim  mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU 1971 bagi memberi lebih kebebasan kepada mahasiswa.

Presiden PKR itu berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira pandangan mahasiswa yang mahukan ruang kebebasan lebih luas, termasuk melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan.

Menurut Azizi, kerajaan bagaimanapun tidak menyatakan tarikh atau mekanisme pelaksanaannya secara terperinci yang membuka implikasi positif dan negatif.

Mengulas lanjut mengenai cabaran undang-undang beliau berkata, AUKU ialah punca kuasa undang-undang untuk penubuhan, tadbir urus, dan operasi 20 universiti awam.

Katanya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir sebelum ini berulang kali menegaskan tiada rancangan untuk memansuhkan AUKU secara penuh sebaliknya memilih pendekatan meminda seksyen tertentu (seperti pindaan 2024).

Ujar beliau, pengumuman Perdana Menteri sudah pasti memenuhi desakan lama gerakan mahasiswa namun tanpa garis masa dan rangka gantian yang jelas dan implikasi sebenar bergantung kepada cara kerajaan melaksanakannya.

“Ia dapat dilakukan menerusi akta baharu yang lebih progresif atau melalui proses peralihan yang teratur.

“Jika direka dengan teliti untuk memberi kebebasan sebenar tanpa menjejaskan tadbir urus, ia boleh menjadi reformasi pendidikan yang besar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast