Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap kepada media ketika di Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – PKR perlu mengambil sikap berendah diri dan bersedia melakukan perubahan, termasuk mengubah strategi komunikasi serta penerangan parti susulan pelbagai teguran yang disuarakan perwakilan pada Kongres Nasional PKR.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu antara mesej besar yang diperoleh pimpinan parti selepas hampir separuh daripada perwakilan menyampaikan pandangan masing-masing.

Menurutnya, pelbagai teguran dan perkara yang perlu dimuhasabah dibangkitkan bagi memantapkan gerak kerja jentera parti, termasuk menambah baik strategi komunikasi dan penerangan.

“Banyak teguran dan perkara yang muhasabah yang perlu difikirkan untuk memantapkan gerak kerja jentera termasuk ubah suai strategi komunikasi dan penerangan.

“Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya serta ramai pimpinan juga mengambil sikap berendah diri, mendengar dan melakukan perubahan bermula dengan kami sendiri.

“Ini penting kalau kita dengar ramai (perwakilan) yang mengatakan banyak daripada usaha dan pencapaian kerajaan, termasuk perkara bersifat makroekonomi, mungkin belum dapat diterjemah dan dinikmati di peringkat ekonomi rumah tangga,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas meninjau bilik media sempena Kongres Nasional PKR di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, pihaknya akan meneliti pandangan yang dibangkitkan sebelum menyampaikan beberapa perubahan yang dirancang dalam sesi penggulungan esok.

Katanya, langkah itu termasuk menambah baik penyampaian pandangan serta mendapatkan maklumat berkaitan isu yang paling dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

“Saya juga mengambil sikap terbuka dan bukan sekadar mengambil maklum, tetapi berterima kasih terutama kepada ketua-ketua cabang yang menyatakan mereka berhasrat memainkan peranan lebih besar untuk menjadi penyalur maklumat.

“Memang sebelum ini pun ada, tetapi mungkin mereka perlukan satu hubungan yang lebih formal untuk memastikan isu di peringkat Parlimen dapat diketahui kami di Putrajaya dan dapat diusahakan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai desas-desus PH Negeri Melaka dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Melaka akan mengadakan pertemuan berkaitan persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Fahmi berkata beliau tidak mengetahui perkara berkenaan.

“Saya tidak tahu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast