Pembahas Kedah, Loh Wei Chai menyampaikan pembentangan usul pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 15 OGOS 2026.

AYER KEROH – Lantikan politik selepas kemenangan pilihan raya bukan hadiah atau ganjaran kerana lama berjuang dalam parti sebaliknya amanah yang mesti diterjemahkan bagi memberi manfaat kepada rakyat dan usaha memperkukuh parti.

Wakil pembahas Kedah, Loh Wei Chai berkata, tidak ada masalah dengan lantikan politik kerana kerajaan sememangnya memerlukan anggota parti untuk membantu melaksanakan dasar serta memastikan penyampaian kepada rakyat berjalan dengan baik.

“Bila kita menang pilihan raya, kita membentuk kerajaan. Bila menjadi kerajaan, sudah tentu ada anggota parti diberikan tanggungjawab. Ada yang menjadi menteri, ada dalam agensi, GLC dan ahli lembaga.

“Di negeri seperti Kedah, kita juga mempunyai JPKKP. Saya tidak ada masalah dengan lantikan politik. Kerajaan memang memerlukan orang untuk membantu melaksanakan dasar dan sampai kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di MITC  hari ini.

Namun Wei Chai berkata, persoalan lebih besar ialah apa yang dilakukan selepas seseorang menerima jawatan tersebut khususnya sumbangan mereka kepada rakyat dan parti.

Menurutnya, lantikan politik tidak seharusnya diberikan hanya kerana seseorang itu sudah lama berada dalam parti atau mempunyai hubungan dengan individu tertentu.

“Bagi saya sangat mudah. Lantikan politik bukan hadiah. Bukan sebab kita sudah lama dalam parti, kita deserve ataupun patut dapat satu jawatan. Bukan sebab kita kenal seseorang, kita mesti dapat sesuatu.

“Lantikan adalah amanah. Bila diberikan amanah, mesti ada tanggungjawab. Bila diberikan ruang, mesti ada hasil,” ujarnya.

Beliau berkata, anggota parti yang diberikan jawatan juga mempunyai kewajipan untuk membantu membina dan mengukuhkan parti kerana parti sebelum itu telah membuka ruang kepada mereka.

Wei Chai berkata, tidak sepatutnya berlaku keadaan seseorang begitu aktif menghadiri program parti, mesyuarat, ceramah dan kempen sebelum mendapat jawatan, tetapi berubah selepas dilantik.

“Jangan sebelum dapat jawatan, program parti semua datang. Mesyuarat datang. Ceramah datang. Kempen datang. Pasang bendera pun datang.

“Tetapi selepas dapat jawatan, hilang. Telefon atau WhatsApp susah nak jawab. Program parti tak nampak. Cabang tak turun. Anggota bawah pun susah nak jumpa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepimpinan dan anggota parti supaya berani menegur keadaan berkenaan demi memastikan setiap lantikan yang diberikan benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan parti.

“Ini kita kena berani tegur. Bukan untuk jatuhkan sesiapa. Kita tegur sebab kita sayangkan parti,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast