Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R Ramanan menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – PKR perlu berani mengakui dan memperbaiki kelemahan, selain memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi dengan memberi keutamaan kepada suara serta keresahan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Seri R. Ramanan berkata, setiap keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai mesej daripada rakyat dan ruang untuk parti menilai semula pendekatan serta memperkemas gerak kerja.

“Kita perlu dengar apa yang rakyat hendak sampaikan kepada kita. Kalau ada kekurangan, kita baiki. Kalau ada perkara yang masih belum sampai atau belum benar-benar dirasai rakyat, kita perlu lihat semula bagaimana kita bekerja.

“Jangan tunggu rakyat datang mencari kita. Kita yang perlu turun bertemu mereka, dengar keluhan mereka, fahami masalah harian mereka dan cari jalan penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan penggulungan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), Ayer Keroh, hari ini.

Ramanan berkata, jentera di peringkat Cabang dan Ranting perlu lebih aktif turun ke lapangan serta menggunakan saluran sedia ada bagi membantu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Pada masa sama, beliau berkata aspek penerangan perlu diberi perhatian serius supaya dasar, bantuan dan kejayaan Kerajaan Madani bukan sahaja dilaksanakan, malah diketahui, difahami dan benar-benar dirasai rakyat.

“Kerajaan boleh melaksanakan seribu inisiatif, tetapi kalau rakyat tidak tahu, tidak faham dan tidak merasainya, kita perlu bertanya apakah penerangan kita sudah cukup berkesan.

“Sebab itu penerangan tidak boleh bermusim atau hanya bergerak ketika pilihan raya. Ia mesti berjalan setiap hari, di setiap Cabang, Ranting dan kawasan sehingga maklumat mengenai dasar, bantuan serta usaha kerajaan sampai ke akar umbi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti supaya memanfaatkan media sosial bagi menyampaikan fakta mengenai usaha kerajaan serta menjawab maklumat tidak tepat dengan fakta dan bukti.

Menurutnya, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan hasil yang dapat dilihat dan perubahan yang benar-benar dirasai dalam kehidupan mereka.

“Tugas kita mudah tetapi besar tanggungjawabnya iaitu mendengar suara rakyat, baiki kekurangan, sampaikan fakta dan pastikan setiap usaha Kerajaan Madani benar-benar sampai serta dirasai rakyat.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang telah dicapai. Kita perlu terus memperbaiki diri dan bekerja lebih kuat untuk mendapatkan serta mengekalkan keyakinan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast