BATU PAHAT – Nisbah peguam syarie berbanding penduduk Islam di Malaysia masih belum mencukupi, sekali gus menunjukkan terdapat ruang yang luas untuk memperkasa dan mengembangkan profesion berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, ketika ini nisbah seorang peguam syarie adalah kira-kira seorang bagi setiap 7,000 penduduk Islam.
“Keadaan ini berbeza dengan nisbah peguam kepada penduduk di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom yang masing-masing mempunyai kira-kira seorang peguam bagi setiap 500 penduduk.
“Ini menunjukkan bahawa kita masih lagi mempunyai peluang dan ruang untuk kita bersama-sama membesar dan meningkatkan lagi profesion peguam syarie,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Sukan Peguam Syarie Malaysia (SUKPES) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.
Zulkifli berkata, perkembangan profesion peguam syarie perlu terus diberi perhatian bagi memastikan keperluan masyarakat Islam terhadap perkhidmatan guaman syariah dapat dipenuhi dengan lebih baik.
Menurut beliau, tahap kepeguaman syarie di Malaysia ketika ini berada pada tahap yang sangat baik, malah dalam beberapa aspek mendahului negara lain.
Bagaimanapun katanya, masih terdapat pelbagai aspek yang boleh ditambah baik termasuk menerusi kerjasama erat antara kerajaan dengan pengamal undang-undang syariah.
“Di peringkat Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, sememangnya kita akan memberikan sokongan padu kepada semua peguam syarie,” katanya.
Zulkifli berkata, penganjuran SUKPES turut menjadi platform penting untuk menghimpunkan peguam syarie dari seluruh negara, selain mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan pengamal profesion berkenaan.
Beliau berkata, penyertaan lebih 630 peguam syarie dalam program itu membuktikan wujudnya semangat kebersamaan dan kekitaan dalam kalangan mereka.
Katanya, interaksi menerusi aktiviti sukan, pergaulan dan pengisian bersama mampu memperkukuh ukhuwah sebelum peserta kembali berkhidmat di negeri masing-masing.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerajaan turut menunjukkan komitmen memperkukuh profesion peguam syarie menerusi sokongan kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu mengumumkan peruntukan RM1.5 juta kepada PGSM bagi melaksanakan projek bantuan guaman peguam syarie.
Menurutnya, peruntukan itu mencerminkan sokongan kerajaan terhadap usaha memperkukuh perkhidmatan guaman syariah serta memastikan masyarakat mendapat akses kepada bantuan guaman yang sewajarnya.- MalaysiaGazette
















