KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bergelar datuk selepas anaknya, Ally Mukhriz selamat melahirkan bayi sulung lelaki, semalam.
Kelahiran bayi dinamakan Eden Zakaria Ezran Cheah itu dengan berat 2.9 kilogram itu menjadi cicit pertama kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Berita gembira itu dikongsikan sendiri ibu Ally, Tok Puan Norzieta Zakaria yang memuat naik ucapan menyentuh hati bagi menyambut kehadiran cucu sulungnya.
“Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah. Hati kami meluap-luap dengan rasa kasih sayang tatkala kami dengan penuh rasa bangga menyambut kehadiran cucu lelaki kami yang sangat berharga ke dalam keluarga ini.
“Selamat datang ke dunia, sayang! Kehadiranmu sudah pun disambut dengan penuh kasih sayang yang mendalam,’ tulisnya di Instagram miliknya di sini hari ini.
Sementara itu, Ally atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz menerusi media sosialnya berkata, cahaya pertamanya dan suami, Ezran Daud Cheah itu lahir pada pukul 8.48 pagi.
“Ezran and I are happy to announce the birth of our baby boy, Eden Zakaria Ezran Cheah. Born 16.08.26 at 8:48am at 2.9kg.
“Thank you everyone for sending the well wishes and we hope to share more soon,” katanya menerusi perkongsian tersebut.
Pada Februari lalu, Ally yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Pemasaran Strategik, Imperial College Business School London mengumumkan kehamilan anak sulung selepas melalui perjalanan panjang rawatan kesuburan, termasuk prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
Ally mendirikan rumah tangga dengan Ezran Daud Cheah pada 20 Februari 2020 dan pasangan itu sering berkongsi perjalanan mereka untuk mendapatkan cahaya mata dengan para pengikut di media sosial.
Kelahiran Eden disambut dengan ucapan tahniah daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta pengikut yang membanjiri ruangan komen media sosial pasangan tersebut. – MalaysiaGazette















