JOHOR BAHRU – Sebanyak empat kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti penambakan dan pembuangan sisa binaan dari Singapura yang dikesan beroperasi di beberapa kawasan di Pontian.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 71(1) Akta 672 manakala satu lagi bagi kes berasingan membabitkan pelupusan sisa tempatan.
“SWCorp Johor memandang serius risiko pencemaran alam sekitar sekiranya aktiviti berkenaan tidak dibendung, termasuk kemungkinan terdapat bahan lain dibuang bersama sisa pembinaan dan perobohan.
“Pelupusan sisa hendaklah dibuat hanya di lokasi yang ditetapkan dan dibenarkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

“SWCorp Negeri Johor akan terus memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 672 terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pengurusan atau pelupusan sisa secara tidak sah di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Portal ini melaporkan kegiatan pembuangan sisa binaan yang dipercayai diambil daripada kerja-kerja perobohan rumah pangsa lama di Singapura ke lebih lima lokasi di Pontian sejak dua tahun lalu.
Dianggarkan kira-kira 20 treler membawa sisa bahan binaan berkenaan untuk dibuang di beberapa lokasi, antaranya Kampung Sungai Senai, Kampung Sungai Karang dan Kampung Simpang Kiri.
Aktiviti itu yang didakwa berlaku terutama pada waktu malam hingga awal pagi, bukan sahaja menyebabkan rumah penduduk mengalami retak dan berhabuk malah meningkatkan risiko kemalangan jalan raya khususnya penunggang motosikal.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, siasatan dijalankan terhadap pemilik tanah dan pihak syarikat yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan. – MalaysiaGazette















