KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor bersama seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) bersedia menjadi barisan hadapan bagi mempertahankan Selangor daripada dikuasai Pas dan Perikatan Nasional (PN).
Naib Ketuanya, Ramadhan Lotphi berkata, Selangor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari adalah contoh pentadbiran yang progresif, inklusif dan berpaksikan kebajikan rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor telah membuktikan keupayaannya melalui pelbagai inisiatif dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan, pengangkutan awam dan bantuan kebajikan kepada rakyat.
“Sekiranya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mahu bertanding atas dasar prestasi, kami bersedia.
“Rakyat boleh membandingkan sendiri pencapaian Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir Pas, daripada peluang pekerjaan dan kemasukan pelaburan hinggalah kepada pengurusan air, pembangunan infrastruktur serta kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Muhammad Sanusi yang mana Pas mahu menjadikan Selangor sebagai titik mula menumbangkan PH di negeri itu dan seterusnya di peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketika berucap pada Himpunan Jentera Pilihan Raya PAS Selangor di Kompleks PAS Selangor, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, Selangor penting kerana negeri berkenaan merupakan pusat ekonomi, kewangan dan pentadbiran negara.
Sementara itu, Ramadhan menambah, Pemuda Amanah Selangor tidak akan membenarkan politik sentimen, perkauman dan eksploitasi agama digunakan untuk menutup kelemahan pentadbiran Pas.
Menurutnya, Selangor mesti terus dipimpin oleh kerajaan yang meraikan kepelbagaian, menjaga keharmonian dan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat.
“Namun, kami tidak akan bersikap selesa atau mengambil mudah cabaran ini.
“Keputusan pilihan raya lalu merupakan peringatan bahawa setiap sokongan mesti dipertahankan melalui kerja, khidmat dan penerangan yang berterusan,” katanya.
Tambah beliau, Pemuda Amanah Selangor akan terus memperkukuh gerak kerja akar umbi, mendampingi anak muda, menjawab fitnah serta membawa rekod pencapaian kerajaan kepada rakyat.
“Kami akan bergerak dari taman ke taman, dari kampung ke kampung dan dari lapangan hingga ke medan digital.
“Datuk Seri Sanusi Md Nor boleh datang membawa slogan untuk menawan Selangor, kami pula akan berdepan dengan rakyat membawa rekod, khidmat dan tawaran masa depan yang lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















