Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, parti itu tidak mengambil peduli berhubung dakwaan terdapat pemimpin UMNO yang didakwa membantah tindakan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, beliau yang juga Ketua Penerangan PN berkata, muafakat antara Pas dan UMNO perlu diteruskan.

“Pas tak ambil pot pun dakwaan konon ada pemimpin umno sekat peruntukan untuk negeri PAS. Muafakat Pas Umno diteruskan…,” katanya ringkas menerusi Facebooknya malam ini.

Semalam, media melaporkan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana terdapat pemimpin UMNO yang mempersoalkan keputusannya meluluskan bantuan kepada negeri-negeri pembangkang seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ketika menafikan dakwaan bahawa pentadbirannya meminggirkan negeri-negeri yang diterajui PN, Anwar mendakwa pemimpin UMNO pernah membantah pemberian peruntukan berkenaan.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh hari ini mencabar Anwar menamakan pemimpin UMNO seperti yang didakwa berkenaan.

Dr Muhamad Akmal berkata, Anwar selaku Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan berkaitan peruntukan kerajaan dan tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak lain. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast