KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan mengenai kebangkitan semula ‘gelombang biru’ dalam politik negara apabila mengajak rakyat memberi kepercayaan melalui undi kepada kepemimpinan yang mampu membawa peluang lebih besar dan kemakmuran bersama.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kepercayaan rakyat perlu diterjemahkan kepada perkongsian lebih kukuh dalam membentuk kepemimpinan negara.
Menurut beliau, perkara itu selari dengan aspirasi yang meletakkan kepercayaan sebagai asas dalam pembentukan kepemimpinan negara.
“Tanggungjawab kita kini adalah untuk menterjemahkan kepercayaan kepada perkongsian lebih kukuh – kepercayaan kepada undi, kepercayaan kepada ‘gelombang biru’… gelombang baharu yang sedang berlaku di Malaysia, insya-Allah.
“Peluang yang lebih besar dan kemakmuran yang dikongsi bersama. Faham tak apa, tak faham tak apa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 Minister and CEO’s Summit di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Penaja WITEX 2026, Datuk Seri Dr Mohd Khalid Harun dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Istilah ‘gelombang biru’ yang digunakan Ahmad Zahid dilihat merujuk kepada kebangkitan semula sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN), sekali gus memberi bayangan mengenai aspirasi parti itu untuk memperoleh mandat lebih besar daripada rakyat.
Kenyataan itu turut menarik perhatian apabila Ahmad Zahid mengaitkan ‘gelombang biru’ secara langsung dengan kepercayaan terhadap undi, namun tidak menyatakan secara terbuka bahawa UMNO atau BN berhasrat menerajui kerajaan.
Dalam nada berseloroh, Ahmad Zahid kemudian berkata, “Faham tak apa, tak faham tak apa,” selepas menyampaikan mesej berkenaan yang disambut gelak tawa para hadirin.
Sebelum ini, Ahmad Zahid turut menggunakan istilah ‘gelombang biru’ dan ‘biru pekat’ ketika menyentuh kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Kenyataan itu merujuk kepada jalinan persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) susulan kejayaan mencapai majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16, awal bulan ini. – MalaysiaGazette
















