MELAKA – Artis popular tanah air, Datuk Ziana Zain merasakan dirinya umpama bermimpi apabila namanya tersenarai sebagai penerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) dari kerajaan negeri Melaka hari ini.
Beliau menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan yang tertinggi terhadap penglibatannya selama lebih 30 tahun dalam dunia seni.
Ziana atau nama sebenarnya, Datuk Siti Roziana Zain berkata, ia lebih bermakna apabila penganugerahan itu diterima dari negeri kelahirannya, Melaka.
“Rasa macam dalam mimpi pun ada.
“Syukur alhamdulillah Kepada Allah selepas lebih 30 tahun kita berjuang dalam bidang seni ini. Akhirnya saya diiktiraf dan lebih manis lagi pengiktirafan itu diterima dari negeri kelahiran saya sendiri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah DPSM daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada Istiadat penganugerahan darjah, tauliah, bintang dan pingat Kebesaran Negeri Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Istiadat itu sempena sambutan Hari Jadi Tun Dr. Mohd Ali ke -77.
Ziana merupakan antara 189 penerima DPSM daripada keseluruhan 1,328 individu yang menerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka pada kali ini.
Ujar Ziana, anugerah itu menyuntik semangatnya lagi dalam bidang seni sekali gus terus mengharumkan nama negeri Melaka.
Anugerah itu juga jelasnya, adalah amanah dan tanggungjawabnya kepada masyarakat menerusi bidang yang diceburinya.
Di sebalik kegembiraaan itu, Ziana tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya apabila penganugerahan itu tidak disaksikan oleh kedua-dua ibu bapanya.
“Saya rasa sedih juga sebab kedua ibu bapa saya tidak dapat tengok saya menerima anugerah ini,” katanya.
Pada istiadat penganugerahan itu, Ziana ditemani adiknya, Anuar Zain. – MalaysiaGazette
















