JOHOR BAHRU – Seorang warga emas yang menderita sakit buah pinggang terpaksa menangguhkan rawatannya walaupun keadaannya sudah kronik kerana tidak mampu menampung kosnya.
Omar Darman, 66, yang tinggal di Plentong di sini sebelum ini terpaksa menangguhkannya selama empat tahun kerana perlu mendahulukan keperluan dua anaknya yang masih bersekolah.
“Saya sepatutnya menjalani rawatan dialisis empat tahun lalu namun terpaksa menangguhnya kerana memikirkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung.
“Saya hidup bergantung dengan pencen bulanan bagi menyara keluarga termasuk isteri serta dua anak bersekolah dan berfikir panjang untuk menjalani rawatan itu berikutan difahamkan perlu membiayai kos membuat tapak dialisis dan sebagainya” katanya.
Omar merupakan antara pesakit yang menerima bantuan kewangan bagi pendidikan anak di Majlis Penyerahan Love Welfare Card ke-12 dan Penyerahan Bantuan Pendidikan ke-6 Pusat Dialisis JJ Lions di Taman Johor Jaya di sini hari ini.
Hadir menyampaikan bantuan adalah District Governor Lions Club International 308 B3, Yew Siew Kien.
Omar bagaimanapun akhirnya mendapat rawatan hemodialisis di Pusat Dialisis Lions Club Johor Jaya di sini sejak tahun lalu hasil pembiayaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Bukan apa, sebelum ini saya tidak mahu menyusahkan ahli keluarga termasuk difahamkan perlu menanggung kos bagi membuat tapak dialisis iaitu kira-kira RM3,000.
“Tambahan pula beberapa adik beradik selain saudara rapat turut menjalani rawatan berkenaan serta menyatakan rawatan cuci darah memerlukan kos tinggi setiap bulan.
“Namun saya lega apabila saya difahamkan berpeluang mendapatkan pembiayaan daripada JPA,” katanya.
Omar berkata, bantuan tersebut terus menguatkan semangat bagi menjalani rawatan serta memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Saya menjalani rawatan ini tiga kali dalam seminggu, alhamdullilah sehingga kini saya masih dapat mengurus diri sendiri.
“Saya sedar tanggungjawab masih banyak terutama bagi memastikan dua anak saya berusia 16 dan 17 tahun dapat bersekolah,” katanya.
Sementara itu, seorang penerima, M. Poomale, 53, pula masih menanggung seorang anak lelaki yang bersekolah.
“Sebagai pesakit dialisis, tahap kesihatan kami tidak menentu namun saya sedaya upaya melaksanakan tanggungjawab termasuk bagi menghantar anak ke sekolah sebelum ke pusat dialisis.
“Saya berterima kasih kepada semua kakitangan pusat dialisis ini yang berdedikasi selain pengurusan yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan masyarakat termasuk menerusi sumbangan barangan keperluan mahupun bantuan pendidikan untuk anak,” katanya. – MalaysiaGazette
















