KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pihak yang didakwa menawarkan pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali menyertai parti itu.
Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang pelawaan terhadap Mohamed Azmin untuk kembali ke PKR.
“Ada orang jemput ke? Ada pelawaan. Saya tak dimaklumkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan National Innovation and Commercialisation Expo (NICE) 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamed Azmin yang menegaskan tidak akan kembali menyertai PKR meskipun terdapat dakwaan mengenai pelawaan terhadap bekas anggota parti itu.
Pada Selasa lalu, Mohamed Azmin yang kini merupakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, beliau tidak akan sesekali kembali menyertai parti lamanya.
Mohamed Azmin berkata, beliau yakin Bersatu mampu menjadi wadah perjuangannya untuk meneruskan kelangsungan politik.
Kenyataan itu sekali gus dilihat sebagai penolakan terhadap seruan Anwar supaya bekas pemimpin dan aktivis PKR kembali menyertai parti berkenaan.
Anwar ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), baru-baru ini, menyeru bekas pemimpin dan aktivis parti itu supaya kembali ke landasan perjuangan PKR.
Sebelum ini, media melaporkan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman dijangka menyertai semula PKR.
Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan kembali menyertai parti itu.
Bagaimanapun, perkembangan berkenaan tidak bermakna semua bekas pemimpin PKR terbuka untuk kembali, dengan Mohamed Azmin antara yang secara terbuka menolak kemungkinan tersebut. – MalaysiaGazette
















