Muhammad Aiman (kanan) dan Mohamad Riduan didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

KULAI – Dua mekanik termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Leburaya Linkedua, Gelang Patah, Sabtu lalu.

Tertuduh, Muhammad Aiman Izzuddin Sukri, 25, yang merupakan OKU lembam dan Mohamad Riduan Abd Ghani, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Majistret R Salini.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya yang menunggang motosikal Yamaha didakwa menunggang secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Lebuhraya Linkedua, pukul 7 pagi, pada 22 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan penjara lima tahun, denda RM15,000 dan boleh hilang kelayakan memiliki lesen memandu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong, manakala Mohamad Riduan diwakili peguam R S Amarpreet Singh dan Muhamad Aiman Izzuddin diwakili Abd Rahim Ali.

Dalam rayuannya, Amarpreet memohon jaminan dikurangkan kerana Mohamad Riduan menanggung isteri dan bapanya yang menghidap kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi.

Menurutnya, Mohamad Riduan hanya bekerja sebagai menanik dengan pendapatan RM1,500.

Sementara itu, Abd Rahim dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan kerana Muhamad Aiman merupakan seorang OKU dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel di Sentul, Kuala Lumpur dengan pendapatan RM1,700.

R Salini kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes disebut semula 5 Oktober depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, seramai 11 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dan hanya dua didakwa atas pertuduhan tersebut.

Beliau berkata, sembilan lagi suspek termasuk pempengaruh permotoran yang bertindak menutup jalan demi berlumba haram dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, lapan individu termasuk pempengaruh permotoran direman pada Isnin lalu, manakala tiga lagi direman semalam kerana disyaki terbabit menutup jalan demi berlumba haram di Lebuhraya Linkedua, jam 7 pagi pada 22 Ogos lalu.

Video perlumbaan dua penunggang motosikal itu kemudiannya tular dalam media sosial yang membawa kepada penangkapan suspek-suspek terlibat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here