Dr. Mazlan Che Soh
Dr. Mazlan Che Soh

KUALA LUMPUR – Parti politik yang masih bergantung kepada sentimen perkauman dan politik berasaskan ketakutan berdepan cabaran untuk mengekalkan sokongan pengundi yang semakin kritikal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh berkata, mana-mana parti politik tidak boleh menganggap mereka mempunyai kelebihan mutlak dalam soal integriti hanya kerana berada dalam blok kerajaan atau pembangkang.

Katanya, tahap kepercayaan rakyat perlu dibina menerusi rekod pentadbiran, pembaharuan institusi dan keupayaan menyelesaikan isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.

“Pengalaman beberapa pilihan raya lalu menunjukkan bahawa pengundi sanggup mengubah sokongan apabila timbul persoalan serius mengenai integriti, tadbir urus, kos sara hidup dan keupayaan sesebuah kerajaan mengurus negara.

“PRU-14 merupakan contoh penting apabila isu ekonomi, kepimpinan dan tadbir urus termasuk rasuah menjadi antara faktor yang membentuk sentimen pengundi ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mazlan, pengundi hari ini juga tidak lagi mudah dipengaruhi hanya melalui lambang parti, slogan politik atau permainan sentimen, sebaliknya semakin mengambil kira prestasi dan rekod kepemimpinan.

Dalam perkembangan berkaitan isu tadbir urus, beliau berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) wajar diberi perhatian susulan penemuan berkaitan kelemahan tadbir urus dan unsur campur tangan politik dalam beberapa keputusan institusi itu bagi tempoh yang disiasat.

“Dalam konteks FELDA pula, sabitan rasuah bekas pengerusinya, Tan Sri Isa Samad, telah dipulihkan oleh Mahkamah Persekutuan dan usaha semakannya kemudian ditolak.

“Ini merupakan rekod institusi dan kehakiman yang boleh mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap soal integriti,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, isu dan rekod pentadbiran terdahulu tidak semestinya menjadi penentu mutlak keputusan PRU-16 kerana rakyat turut akan membuat penilaian terhadap kerajaan semasa.

Katanya, tinjauan Merdeka Center pada Jun lalu menunjukkan 73 peratus responden menganggap ekonomi sebagai masalah terbesar rakyat, manakala hanya 42 peratus berpandangan negara berada di landasan yang betul.

“Ini menunjukkan pertarungan politik selepas ini bukan semata-mata mengenai siapa mempunyai rekod yang lebih buruk, tetapi siapa yang mampu menawarkan pentadbiran lebih bersih, ekonomi lebih baik dan kehidupan yang benar-benar dirasai rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here