PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung tempoh reman selama empat hari terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) bergelar Tan Sri.
Majistret, Ezrene Zakariah memberi kebenaran itu bagi membolehkan agensi penguat kuasa undang-undang menjalankan siasatan lanjut berhubung pendedahan dan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Terdahulu, individu terbabit di bawa ke mahkamah majistret di sini pagi tadi bersama seorang ahli politik bergelar Datuk Seri yang juga bekas Pengerusi TH dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan (MOF).
Ketiga-tiga mereka tiba pukul 9.30 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM dan memakai baju berwarna oren tertera tulisan Lokap SPRM berserta tangan bergari.
Pada Jumaat lalu, bekas CEO TH terbabit direman tujuh hari berkaitan laporan RCI TH dengan tempoh remannya tamat hari ini.
Terdahulu, media melaporkan beliau dipercayai menjadi antara individu terbaharu dalam radar siasatan SPRM berhubung laporan RCI TH.
Sumber sebelum ini memaklumkan, individu berkenaan juga adalah ahli korporat terkenal yang pernah memegang jawatan di beberapa syarikat terkemuka di negara ini.
SPRM sebelum ini sudah menahan dan memanggil tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung RCI itu. – MalaysiaGazette
















