Ramkarpal Singh

GEORGE TOWN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu menerima dan menghormati keputusan mahkamah berhubung kuasa kerajaan negeri mengenakan larangan menyeluruh terhadap perjudian berlesen,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Jelas beliau, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya cuba mencari jalan untuk memintas kuasa Persekutuan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu, sekali gus menyebabkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi kekal berkuat kuasa.

“Muhammad Sanusi perlu menerima keputusan itu sama ada beliau suka atau tidak.

“Beliau juga sepatutnya menghormati mahkamah kerana bukan menjadi urusannya untuk mempersoalkan kewajaran sesuatu penghakiman, khususnya apabila keputusan berkenaan sudah muktamad,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Ramkarpal, Muhammad Sanusi juga sebelum ini berulang kali menyatakan hasrat untuk mencari jalan bagi mengatasi keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa mengenakan larangan menyeluruh terhadap perjudian berlesen.

Beliau berkata, sekiranya Muhammad Sanusi benar-benar menganggap perjudian merupakan masalah serius di Kedah, Menteri Besar itu sepatutnya menggunakan seluruh jentera kerajaan negeri untuk mendidik masyarakat mengenai keburukan perjudian serta memperketatkan penguatkuasaan.

“Beliau sepatutnya memberitahu rakyat apa yang telah dilakukan kerajaan negeri mengenai perkara itu, bukannya meminta Ahli Parlimen DAP melakukan tugasnya,” katanya.

Dalam pada itu Ramkarpal berkata, kenyataan Muhammad Sanusi bahawa ‘bola kini berada di gelanggang Menteri Kewangan’ bagi menghentikan kelulusan lesen perjudian menunjukkan Menteri Besar Kedah itu sendiri mengakui urusan kawal selia dan pelesenan aktiviti perjudian terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Katanya, perkara berkenaan sememangnya selaras dengan keputusan mahkamah yang memutuskan dasar Kedah untuk enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah tidak berperlembagaan kerana menceroboh bidang kuasa Persekutuan.

“Setelah mengakui perkara itu berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, beliau tidak boleh pula mencari jalan untuk memintas kuasa tersebut.

“Adalah diragui sama ada Muhammad Sanusi telah mendapatkan nasihat undang-undang dalam perkara ini.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa tindakan bertentangan dengan keputusan mahkamah yang muktamad boleh membawa kepada isu penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan tindakan negeri itu menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan bagi pengendali pertaruhan nombor ramalan.

Mahkamah Persekutuan juga memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000 selepas panel tiga hakim memutuskan kerajaan Kedah gagal memenuhi ambang yang diperlukan bagi mendapatkan kebenaran merayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here