KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 4 petang ini, dengan empat daripadanya berada di Sarawak.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, Samarahan mencatat bacaan tertinggi iaitu 158, diikuti Sri Aman (157) dan IPD Serian (156).
Tiga lagi kawasan mencatat bacaan melebihi 150 iaitu Cheras, Kuala Lumpur (153), Johan Setia, Selangor (151) dan Putrajaya (114).
Turut merekodkan bacaan tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan (109), Batu Muda, Kuala Lumpur (107) dan Shah Alam, Selangor (103).
Beliau berkata, kualiti udara negara merosot dengan beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak merekodkan bacaan tidak sihat, dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Menurutnya, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 25 Ogos, sebanyak 266 titik panas dikesan di Kalimantan, 164 di Sumatera dan empat di Malaysia.
Daripada jumlah titik panas dalam negara itu, satu dikesan di Kelantan, dua di Sabah dan satu di Terengganu.
Peta Jerebu Serantau ASMC pada 27 Ogos pula menunjukkan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan ASEAN selatan, manakala kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal dikesan dari Kalimantan Barat bergerak ke arah utara menuju barat Sarawak.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut dikesan berpunca daripada titik panas di beberapa kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
“Sehubungan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azuri Azizah menambah, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.
Berdasarkan pelan tersebut, semua aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.
Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan diaktifkan di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, manakala operasi pembenihan awan boleh dilaksanakan tertakluk kepada keadaan awan dan cuaca yang sesuai.
JAS turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka. Pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Orang ramai juga diminta melaporkan pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727. – MalaysiaGazette
















