Kementerian Dalam Negeri.

KUALA LUMPUR – Fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela melibatkan 1,476 daripada 5,000 warga Myanmar akan dilaksanakan pada 29 September ini yang akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata, pelaksanaan program berkenaan dipersetujui bersama Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar dan akan dilaksanakan secara selamat, bertanggungjawab serta mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, 1,476 warga Myanmar yang terbabit dikenal pasti oleh kerajaan negara itu melalui Nota Diplomatik No. 649/47 01(2026) bertarikh 13 Ogos 2026.

“Tarikh tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan, berbanding cadangan asal Kerajaan Myanmar pada 28 Ogos 2026.

“Proses penghantaran pulang akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar,” menurut kenyataan itu.

KDN berkata, bagi tahun ini, seramai 4,008 warga Myanmar, khususnya etnik Rohingya, akan dijalurkan kepada Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), manakala 5,000 individu lain akan menjalani proses penghantaran pulang secara sukarela ke Myanmar secara berperingkat.

Sehingga 15 Ogos lalu, seramai 10,388 warga Myanmar berada di Depot Tahanan Imigresen, namun KDN menegaskan, jumlah berkenaan merangkumi semua rakyat Myanmar yang ditahan dan tidak boleh dianggap keseluruhannya sebagai pelarian.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melaksanakan proses DPP bagi mengesahkan identiti, kewarganegaraan, status imigresen, tuntutan pelarian serta latar belakang keselamatan setiap individu.

“Proses pendaftaran DPP golongan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku keempat tahun 2026,” tambahnya.

KDN menjelaskan, strategi kerajaan mempunyai dua cabang yang saling melengkapi, iaitu rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan pengambilan semula rakyatnya dilaksanakan secara berperingkat, teratur dan bertanggungjawab.

Cabang kedua ialah pendaftaran serta pendataan individu yang mendakwa sebagai pelarian dan pemohon suaka melalui DPP bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat menyeluruh dan tepat mengenai keberadaan golongan terbabit.

Menurut KDN, program DPP kemudiannya akan diperluaskan kepada semua pendatang tanpa izin yang berada di luar Depot Tahanan Imigresen, termasuk pemegang kad UNHCR dan individu yang mendakwa sebagai pelarian.

Pendaftaran itu diwajibkan bagi membolehkan kerajaan memperoleh data biometrik dan maklumat peribadi lengkap sebagai asas pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan demi kepentingan keselamatan negara.

Individu yang memenuhi syarat dan melepasi proses pendaftaran DPP akan diberikan Kad DPP sebagai dokumen pendaftaran yang membolehkan mereka tinggal secara sementara, tertakluk kepada syarat, kawalan dan pemantauan ditetapkan kerajaan.

KDN berkata, lebih 95 peratus pelarian di Malaysia berasal dari Myanmar, termasuk etnik Rohingya, Chin, Karen dan Mon, justeru penyelesaian isu itu tidak boleh dilakukan secara unilateral.

“Kerajaan Madani sedang dan akan terus menggiatkan rundingan diplomatik secara langsung dengan Kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara teratur, bermaruah dan dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.

KDN berkata, isu kehadiran pelarian yang berdaftar dengan UNHCR mahupun tidak berdaftar telah berlarutan selama berpuluh tahun tanpa penyelesaian tuntas dan keadaan itu kini menjadi beban kewangan, mencetuskan masalah sosial serta mewujudkan ancaman keselamatan kepada negara.

Kerajaan, katanya, mengambil langkah untuk menangani isu berkenaan secara terus dan terbuka dengan memastikan maklumat tepat mengenai individu dalam sempadan negara diperoleh bagi membolehkan keberadaan mereka diuruskan dengan berkesan.

KDN turut menegaskan, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, justeru pelaksanaan DPP tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau penyertaan Malaysia kepada instrumen antarabangsa berkenaan.

Sebaliknya, DPP mencerminkan pendekatan ihsan Kerajaan Madani dalam menangani isu pelarian dan pemohon suaka secara teratur serta berperikemanusiaan, selain selaras dengan undang-undang, kepentingan nasional dan kedaulatan negara.

“Program DPP merupakan mekanisme serampang pelbagai mata untuk menyelamatkan negara daripada krisis demografi gelap.

“Pelaksanaannya dapat memperkukuh aspek keselamatan melalui pemilikan data biometrik yang tepat dan sahih, mengurangkan ruang kepada kewujudan ekonomi bayangan serta memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat tempatan terus terpelihara dan diutamakan,” menurut KDN lagi.

KDN menegaskan isu itu perlu ditangani secara menyeluruh, berhemah dan berperikemanusiaan, namun pada masa sama tegas, telus serta berlandaskan undang-undang demi keselamatan dan kedaulatan negara serta kepentingan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here