Pemandangan bangunan pencakar langit di ibu kota yang dicemari jerebu berikutan insiden kebakaran hutan di Kalimantan, ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 25 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, dan satu kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 2 petang tadi.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, Sri Aman, Sarawak mencatat bacaan IPU 211, iaitu pada tahap sangat tidak sihat.

Manakala 44 kawasan berada pada tahap sederhana dan satu kawasan mencatatkan kualiti udara baik.

Antara kawasan lain yang merekodkan bacaan tidak sihat ialah IPD Serian, Sarawak (182), Cheras, Kuala Lumpur (160), Seberang Perai dan Minden, Pulau Pinang (158), Kuching, Sarawak (157) serta Taiping, Perak (155).

JAS berkata, kemerosotan kualiti udara hari ini dipengaruhi pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Menurutnya, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 27 Ogos, sebanyak 514 titik panas dikesan di Kalimantan, 176 di Sumatera dan tiga di Malaysia.

“Tiga titik panas yang dikesan di dalam negara masing-masing berada di Johor, Sarawak dan Terengganu,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Peta Jerebu Serantau ASMC pada 28 Ogos pula menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, timur laut Borneo dan utara Sumatera yang mengalami hujan.

Jerebu sederhana hingga tebal dikesan di bahagian barat Borneo, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal turut kelihatan di beberapa kawasan di Kalimantan serta tengah dan selatan Sumatera.

JAS berkata, beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan, barat Sarawak, barat Semenanjung Malaysia serta selatan dan tengah Sumatera merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Sehubungan itu, JAS meningkatkan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka serta situasi jerebu.

Menurut PTJK, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan diaktifkan di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Semua aktiviti di luar bilik darjah perlu dihentikan apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska perlu ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

JAS turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan kejadian pembakaran atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here