MELAKA – Buat julung kali dalam tempoh 69 tahun, Melaka diberi penghormatan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk mempamerkan lima buah kapal perangnya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Ia sebagai tanda sokongan TLDM kepada Kerajaan negeri Melaka yang menyambut hari penuh bersejarah itu di Dataran 1 Malaysia, Klebang di sini pada tahun ini.
Kebanggaan itu dizahirkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh apabila Melaka menjadi satu-satunya negeri yang dipilih TLDM untuk mempamerkan asetnya itu.
Menurut beliau, ia merupakan sejarah bagi Melaka yang dianggap satu keistimewaan terhadap pengisian sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri berkenaan.
“Hampir 70 tahun merdeka inilah pertama kalinya TLDM memberikan sokongan kepada sambutan Hari Kemerdekaan dan Melaka menjadi satu-satunya negeri yang diberi penghormatan ini,” katanya. ketika berucap pada Santai Bersama Warga Pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahkota, sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di sini, semalam.

Justeru beliau mengajak semua warga Melaka termasuk pelajar mengambil kesempatan itu untuk menyaksikan dengan lebih dekat aset pertahanan negara yang jarang dapat dilihat pada hari-hari biasa.
“Pastinya ini sesuatu yang luar biasa, pergilah hadir dan menjadi antara insan-insan bertuah kerana dapat melihat aset tentera laut ini berlabuh di Melaka.
“Peluang ini wajar dimanfaatkan terutama generasi muda untuk mengenali lebih dekat aset pertahanan negara selain menghayati peranan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan negara,” jelasnya
Sebanyak lima kapal TLDM yang terlibat iaitu Kapal Diraja (KD) Sri Indera Sakti, KD Terangganu, KD Lekir, KD Laksamana Muhammad Amin dan KD Gempita.
Kesemua kapal berkenaan tiba di perairan Klebang hari ini.
Kesemua kapal perang terbabit terlibat dalam Karnival Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) Melaka 2026 di perairan Pantai Klebang bermula esok hingga Isnin ini. – MalaysiaGazette
















