Anwar.

SEBERANG JAYA – Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyalurkan bantuan kewangan, selain menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke Nepal susulan bencana banjir besar di kawasan sempadan Nepal-Tibet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan sedang diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), dengan maklumat lanjut dijangka diterima tidak lama lagi.

“MKN sedang menyelaraskan sama ada kita hantar pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), pasukan penyelamat atau bomba.

“Itu akan kita putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal bagi menilai keadaan semasa susulan bencana berkenaan sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Pada masa sama Anwar berkata, Kementerian Luar sedang mengumpulkan maklumat terkini berhubung rakyat Malaysia yang terjejas, termasuk mereka yang masih belum dapat dikesan.

“Maklumat yang diterima daripada beberapa negara jiran seperti India, China dan Bangladesh turut sedang diselaraskan bagi mendapatkan perkembangan terbaharu.

“Jadi kita minta pihak keluarga yang terlibat untuk menghubungi pihak Kementerian Luar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Pelancongan Nepal mengeluarkan senarai 668 individu daripada pelbagai negara yang dilaporkan masih terputus hubungan susulan kejadian itu.

Seramai 51 individu dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia dan mereka direkodkan menggunakan khidmat beberapa agensi pelancongan, termasuk Leaf Holiday, Fishtail, Dream Tibet Travel and Tour serta Kailash Journey. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here